Anda di sini

Penganjur program 'Cosplay Anime' dinasihat mohon permit daripada polis

Advertisement
 

KUCHING: Polis menasihatkan penganjur program 'Cosplay Anime' agar memohon permit penganjuran daripada pihaknya terlebih dahulu untuk mengelakkan peserta program berdepan dengan masalah.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah (gambar) berkata, permohonan permit perlu kerana ada dalam kalangan peserta akan mempamerkan watak-watak anime yang ada membawa alat menyerupai senjata.

Menurutnya, jika ditahan oleh pihak berkuasa, adalah menjadi satu kesalahan membawa alat menyerupai senjata yang boleh diambil tindakan di bawah Akta Senjata 1960.

"Semua jenis senjata, sama ada yang betul atau menyerupai senjata seharusnya mesti ada kelulusan daripada agensi terlibat, khususnya polis dan sekiranya didapati tiada permit semasa diperiksa oleh anggota, kita memang akan diambil tindakan.

"Justeru kepada penganjur program yang menggunakan senjata atau menyerupai senjata perlu memohon permit dan akan ada tapisan demi tapisan dilakukan sebelum diberikan kelulusan,"katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Tambahnya, sekiranya ditangkap dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi setahun dan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
 

  • oleh
  • Advertisement