Anda di sini

Penduduk luar bandar sambut baik cadangan JMKM dua kali sebulan 

Advertisement
Safiee (tengah) bersama Salihin (kiri) pada JMKM di Daro pada Rabu lalu.
Safiee (tengah) bersama Salihin (kiri) pada JMKM di Daro pada Rabu lalu.

MUKAH: Cadangan menganjurkan program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) dua kali sebulan amat dialu-alukan oleh rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata, program itu memberi impak besar kepada penduduk dalam mengurangkan kesan ekonomi global terutama dalam kehidupan seharian mereka.

"Ini adalah satu usaha baik daripada kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membantu penduduk terutama di kawasan luar bandar seperti Daro," katanya ketika ditemui pada program JMKM di Daro, pada Rabu.

Safiee berkata, jika program itu dilaksanakan lebih kerap seperti dua kali sebulan, mereka dapat membeli barangan keperluan dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran biasa.

Katanya, ia dapat membantu mereka dengan melakukan penjimatan ke atas pembelian barangan seharian seperti beras, gula, minyak masak peket, tepung gandum, telur dan sebagainya.

"Program seperti ini umpama bantuan tambahan dilaksanakan oleh kerajaan pusat mahupun negeri bagi membantu rakyat menghadapi masa sukar setelah pandemik COVID-19.

"Dalam program JMKM had pembelian dilaksanakan kerana ia perlu dinikmati seramai mungkin pengguna," jelasnya.
Program JMKM DUN Daro berlangsung selama dua hari iaitu di Long Heng Mini Market dan Pasar Mini Keluarga pada hari berikutnya.

Ini merupakan kali keempat dilaksanakan di DUN tersebut.

Turut hadir Ketua Cawangan KPDNHEP Mukah Salihin Den.
 

  • oleh
  • Advertisement