Anda di sini

Pemakaian pelitup muka dalam pesawat kini atas pilihan penumpang

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan bahawa berkuat kuasa serta-merta, pemakaian pelitup muka semasa dalam pesawat kini adalah atas pilihan penumpang bagi semua syarikat penerbangan di bawahnya, kecuali pemakaian yang diwajibkan di negara-negara destinasi.

Menurut MAG ini susulan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai pemansuhan kewajipan pemakaian pelitup muka ketika dalam pesawat komersial berkuat kuasa semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail sebelum itu telah memberi taklimat kepada Khairy mengenai pendekatan berasaskan risiko dalam menjadikan pemakaian pelitup muka sebagai pilihan di dalam pesawat, jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

MAG menjelaskan antara ciri perlindungan yang terdapat dalam pesawat ialah sistem peredaran udara kabin yang menyegarkan udara kabin 20 hingga 30 kali sejam selain penggunaan penapis udara berzarah kecekapan tinggi (HEPA) yang mempunyai keupayaan untuk menapis 99.9 peratus bahan cemar bawaan udara termasuk virus dan bakteria.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan amat menggalakkan penumpang yang tidak sihat, individu berisiko tinggi dan mereka yang melakukan perjalanan bersama individu berisiko tinggi supaya terus memakai pelitup muka ketika berada dalam pesawat, menurut MAG.

MAG menjelaskan, penumpang Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan AMAL boleh melakukan perjalanan dengan penuh yakin memandangkan MAG komited untuk menyediakan pengalaman perjalanan menyeluruh yang selamat dan lancar seiring dengan inisiatif MHFlySafe.

Ini termasuk operasi pesawat oleh juruterbang dan anak kapal yang telah menerima vaksin lengkap serta disinfeksi pesawat yang kerap dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tambahnya. - BERNAMA
 

Advertisement