Anda di sini

Pakej mekanisasi ladang, baja fertigasi tanaman keledek mampu tingkatkan pengeluaran 

Advertisement
Ahmad Hamzah melawat pameran ubi-ubian sempena Majlis Pelancaran Pakej Mekanisasi Ladang dan Baja Fertigasi Tanaman Keledek di Pusat Kecemerlangan Penyelidikan MARDI hari ini. -Gambar Bernama
Ahmad Hamzah melawat pameran ubi-ubian sempena Majlis Pelancaran Pakej Mekanisasi Ladang dan Baja Fertigasi Tanaman Keledek di Pusat Kecemerlangan Penyelidikan MARDI hari ini. -Gambar Bernama

BACHOK: Pakej mekanisasi ladang dan baja fertigasi bagi tanaman ubi keledek mampu meningkatkan produktiviti, menjimat kos buruh, membantu peningkatan skala pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan import.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata dengan penggunaan pakej mekanisasi, kos operasi dapat dikurangkan sehingga 50 peratus secara keseluruhannya berbanding kos operasi secara manual.

Katanya, pakej mekanisasi yang terlibat adalah mesin penabur baja organik, mesin pembuat batas, mesin penanam, mesin penabur baja dan kawalan rumpai, penyembur bermotor dan dron semburan, mesin pemotong jalar ubi keledek dan mesin penuai.

"Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengambil langkah yang proaktif bagi mengatasi isu ketidakcukupan bekalan makanan ubian khususnya keledek bagi memenuhi permintaan dalam negara, sekali gus mengurangkan import keledek negara.

"Ini adalah antara langkah proaktif MARDI menjana inovasi dan teknologi pertanian untuk golongan sasar bagi pengeluaran hasil pertanian yang tinggi dan seterusnya membuka pasaran eksport," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pakej Mekanisasi Ladang dan Baja Fertigasi Tanaman Keledek di Pusat Kecemerlangan Penyelidikan, MARDI Bachok, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata formulasi baja fertigasi keledek dan sistem pengeluaran keledek berkualiti menggunakan sistem penanaman efisien tanpa tanah atau dikenali penanaman fertigasi dapat meningkatkan tumbesaran tanaman dan meningkatkan lagi hasil ubi keledek berbanding kaedah penanaman secara konvensional.

"Kaedah penanaman ubi keledek secara manual memerlukan tenaga pekerja yang ramai dan kos yang tinggi adalah faktor kepada keluasan yang terhad dan produktiviti yang rendah.

"Oleh itu, teknologi yang dibangunkan ini boleh dijadikan alternatif kepada usahawan tani dan petani untuk meningkatkan pengeluaran hasil tanaman keledek mereka sekali gus dapat menambah pendapatan mereka," katanya. - BERNAMA
 

Advertisement