Anda di sini

Ops Carilamat pemancing hilang di laut Mukah ditamatkan

Advertisement
Pegawai Maritim Malaysia dan pegawai-pegawai agensi penyelamat lain serta waris mangsa mengambil keputusan menamatkan Ops Carilamat pada jam 3 petang di Jeti LKIM, pada Rabu.
Pegawai Maritim Malaysia dan pegawai-pegawai agensi penyelamat lain serta waris mangsa mengambil keputusan menamatkan Ops Carilamat pada jam 3 petang di Jeti LKIM, pada Rabu.

MUKAH: Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching yang menyelaras operasi mencari dan menyelamat (Ops Carilamat) bersama agensi sahabat menamatkan operasi pada jam 3 petang Rabu setelah tiada petunjuk baharu untuk menemui seorang pemancing yang masih hilang di laut susulan bot karam di perairan laut Mukah pada 20 September lalu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, keputusan untuk menamatkan Ops Carilamat ini dibuat setelah tiada sebarang penemuan dan petunjuk baharu sepanjang tujuh hari operasi dijalankan. 

Begitupun katanya, 11 mangsa yang terlibat yang mana lapan berjaya ditemui selamat, dua dijumpai telah meninggal dunia, manakala seorang mangsa yang dikenali sebagai Wong Yuk Kong, 62, masih gagal dijumpai.

"Keluasan pencarian sepanjang tujuh hari operasi adalah seluas 1,319.87 batu nautika persegi yang melibatkan udara dan laut," ujarnya dalam kenyataan media.

Katanya, pelbagai aset kerajaan telah digunakan sepanjang operasi iaitu Pesawat Udara CL415 Bombardier, KM Kota Kinabalu (Maritim Malaysia), kapal PA 49 Pasukan Polis Marin (PPM), bot PL603 Jabatan Perikanan Laut Sarawak(JPLS), pesawat udara EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM), bot Penyelamat BP173 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan bot A086 Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Tambahnya, turut membantu adalah pihak Petronas dan Shell, orang awam daripada Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak dengan melibatkan bot HIMAJAYA 7 serta empat bot gentian.

"Pencarian darat turut dilakukan di Pantai Penat, Tanjung Bunut, Pantai Kingwood Resort dan Pantai Kampung Judan sepanjang tempoh tujuh hari Ops Carilamat oleh anggota yang terlibat di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) Mukah," katanya.

Terdahulu, bot pancing yang membawa sembilan pemancing dan tiga kru termasuk tekong telah karam di perairan Mukah pada 20 September lebih kurang jam 8.30 malam pada kedudukan lebih kurang 34 batu nautika dari barat laut Mukah. 

Dua mangsa terawal dijumpai MT Capella semasa sedang hanyut di perairan Mukah sekitar jam 3 petang pada 21 September dan selebihnya iaitu lapan orang dijumpai ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan dalam kawasan pencarian.

Justeru katanya, Maritim Malaysia turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), PPM, JPLS, TUDM, JBPM, APM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), LKIM, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Residen Bahagian Mukah, Petronas, Shell, Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak (PKPS) serta semua yang telah terlibat sepanjang tujuh hari Ops Carilamat.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu ditalian 086-314 254 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/082-432016 yang beroperasi 24 jam.
 

  • oleh
  • Advertisement