Anda di sini

MPC cadang terbit laporan prestasi produktiviti Sarawak

Advertisement
Rozaini (tengah, duduk), Nor Hafizah (kanan) dan Daaniyall merakamkan gambar kenangan bersama peserta bengkel. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Rozaini (tengah, duduk), Nor Hafizah (kanan) dan Daaniyall merakamkan gambar kenangan bersama peserta bengkel. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak bercadang untuk menerbitkan Laporan Produktiviti Negeri yang akan menilai prestasi produktiviti dan daya saing Sarawak. 

Pemangku Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak Jabatan Premier Sarawak Rozaini Mohammad Zahir berkata, beliau difahamkan laporan yang turut mengesyorkan inisiatif peningkatan produktiviti itu bakal disiapkan sekitar November ini.

"Laporan ini adalah lebih bersifat makro yang memberi tumpuan bagi memahami prestasi produktiviti Sarawak.

"Ia juga mencadangkan bidang tumpuan produktiviti yang akan menyokong pelan pembangunan Sarawak, iaitu Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030," katanya ketika merasmikan Bengkel Perancangan Strategik Peningkatan Produktiviti Negeri Sarawak di Blok Latih
an MPC Wilayah Sarawak di Demak Laut di sini, hari ini.
Menurut Rozaini, laporan tersebut diharap dapat memberi input kepada penggubal dasar, sekali gus meningkatkan lagi profil negeri Sarawak sebagai destinasi pilihan pelabur.

Mengulas mengenai bengkel anjuran MPC Sarawak dengan kerjasama EPU Sarawak hari ini, Rozaini berkata, objektif bengkel adalah untuk memahami prestasi produktiviti sektor ekonomi di Sarawak yang berkait rapat dengan pencapaian matlamat PCDS 2030, iaitu sebagai wilayah maju dan berpendapatan tinggi. 

Menurut beliau, pihaknya juga menyokong kerjasama EPU bersama MPC ini, selain menyambut baik inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan dalam meningkatkan prestasi produktiviti negeri.

Sementara itu, Pengarah MPC Sarawak Nor Hafizah Mohd Arop berkata, Laporan Produktiviti Negeri akan diterbitkan hasil daripada Bengkel Perancangan Strategik Peningkatan Produktiviti Negeri Sarawak hari ini.

Bengkel itu katanya, akan menganalisis prestasi produktiviti dan daya saing negeri, selain menghasilkan cadangan terhadap inisiatif untuk meningkatkan dua perkara tersebut.

"Laporan ini seterusnya akan menjadi rujukan bagi pembuat dan penggubal dasar untuk merangka strategi meningkatkan ekonomi dan produktiviti negeri ini.

"Inilah matlamat kami di bawah inisiatif Sarawak Produktif. MPC akan menjadi pemudah cara untuk memberi impak positif kepada ekonomi negeri dan prestasi produktiviti yang lebih cemerlang di Sarawak," ujar beliau dalam ucapan alu-aluan sebelum bengkel tersebut bermula.

MPC juga katanya, mengorak langkah membantu kerajaan negeri untuk mengukur dan memantau prestasi produktiviti negeri serta mencadangkan program peningkatan produktiviti bersasar bagi mencapai hasrat sebagai negeri produktif.

Bengkel berkenaan dihadiri oleh ahli-ahli ekonomi kanan MPC iaitu Prof Dr Muzafar Shah Habibulah dan Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman, fasilitator, wakil-wakil kerajaan persekutuan dan negeri Sarawak, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan industri.
 
Semasa bengkel berlangsung, perincian perubahan atau inovasi yang perlu dilakukan akan dikenal pasti melalui sesi libat urus komprehensif dengan pelbagai pihak pemegang taruh.
 

  • oleh
  • Advertisement