Anda di sini

Mini KUD@Limbang sasar capai hasil jualan RM200,000

Advertisement

Pelbagai aktiviti bakal diadakan pada karnival selama tiga hari dari 30 Sept hingga 2 Okt di Kompleks Sukan Limbang

 Hasbi mengajak seluruh penduduk Limbang untuk hadir beramai-ramai ke Kompleks Sukan Limbang sempena Mini KUD@Limbang yang menjanjikan pelbagai aktiviti menarik hujung minggu ini.
BERSAMA JAYAKAN: Hasbi mengajak seluruh penduduk Limbang untuk hadir beramai-ramai ke Kompleks Sukan Limbang sempena Mini KUD@Limbang yang menjanjikan pelbagai aktiviti menarik hujung minggu ini.

“Mini KUD juga mempromosi dan menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli serta meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar.”

Datuk Hasbi Habibollah
Timbalan Menteri KPLB

Oleh Mastura Ismail

LIMBANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan untuk mencapai hasil jualan produk para usahawan luar bandar mencecah RM200,000 sempena Mini Karnival Usahawan Desa (KUD)@Limbang yang akan diadakan di Kompleks Sukan Limbang selama tiga hari bermula 30 September hingga 2 Oktober ini.

Lebih 100 usahawan termasuk penjual masakan panas (Dapur Limbang), penjaja kecil yang menjual pelbagai makanan dan minuman dari pelbagai agensi di bawah KPLB dan usahawan tempatan di bawah kelolaan Majlis Daerah Limbang (MDL) bakal menyertai program itu.

Mini KUD edisi ketiga bagi tahun ini menyaksikan penglibatan empat agensi di bawah KPLB iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA Berhad, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) serta bahagian-bahagian di bawah KPLB seperti Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti (EK).

 Hasbi (tiga kiri) mendengar taklimat daripada agensi MARA mengenai program bakal berlangsung sempena Mini KUD@Limbang pada hujung minggu ini.
PERSIAPAN RAPI: Hasbi (tiga kiri) mendengar taklimat daripada agensi MARA mengenai program bakal berlangsung sempena Mini KUD@Limbang pada hujung minggu ini.

Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang dan MDL khususnya dalam penyediaan tapak, perancangan serta pelaksanaan aktiviti-aktiviti pengisian program.

Mini KUD dijadual bermula jam 8.30 pagi hingga 10 malam di mana kira-kira 5,000 pengunjung dijangka membanjiri Kompleks Sukan Limbang setiap hari.

Timbalan Menteri KPLB Datuk Hasbi Habibollah ketika ditemui pada tapak Mini KUD di sini baru-baru ini menjelaskan, majlis perasmian penutupan dijangka akan disempurnakan oleh Menteri KPLB Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 2 Oktober, sekali gus menyempurnakan penyampaian geran Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), disusuli dengan penyampaian hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal.

 Hasbi (tengah) yakin Mini KUD@Limbang bermula 30 September hingga 2 Oktober ini diyakini mampu mengangkat ekonomi usahawan Bumiputera.
UNTUK USAHAWAN: Hasbi (tengah) yakin Mini KUD@Limbang bermula 30 September hingga 2 Oktober ini diyakini mampu mengangkat ekonomi usahawan Bumiputera.

PERKEMBANG PERNIAGAAN USAHAWAN LUAR BANDAR

Kata Datuk Hasbi, antara objektif utama program itu ialah untuk mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan kementerian dan agensi yang dapat membantu memperkembang perniagaan usahawan luar bandar.

“Mini KUD juga mempromosi dan menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli serta meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar,” katanya.

Jelas Hasbi lagi, golongan sasar bagi program itu terdiri daripada usahawan luar bandar yang telah mendapat bimbingan kementerian dan agensi, serta memerlukan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti dan memperkembang perniagaan. 

“Program ini juga menyasarkan penyertaan bahagian-bahagian daripada kementerian dan agensi yang menyediakan program pengukuhan keusahawanan dan pembiayaan kewangan kepada usahawan luar bandar,” katanya.

 

PELBAGAI PENGISIAN PROGRAM

Pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan sepanjang tiga hari program Mini KUD@Limbang.

Ia termasuk aktiviti jualan makanan dan minuman, fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kecantikan dan kesihatan, kraf tangan dan produk pertanian.

Turut diadakan aktiviti pameran agensi dan anak syarikat dengan penampilan Rural Business Challenge (RBC) Bistro yang disertai pemenang-pemenang RBC dari seluruh negeri. 

RBC Bistro dilihat dapat mencipta peluang akses pasaran yang lebih luas, meningkatkan aktiviti jualan, meluaskan jaringan perniagaan seterusnya mengembangkan perniagaan usahawan luar bandar, khususnya usahawan RBC.

Aktiviti lain termasuk pameran oleh bahagian-bahagian di bawah KPLB dan agensi serta anak syarikat yang memfokus kepada keusahawanan, pendidikan serta penawaran kemudahan yang disediakan.

Antara kemudahan yang disediakan Bahagian Pembangunan Usahawan Desa termasuk penerangan, pendaftaran dan kelulusan SPKLB serta penerangan dan pendaftaran untuk Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED).

Manakala, Bahagian Pembangunan EK menyediakan Program Onboarding Usahawan, penerangan, pameran dan jualan serta penerangan dan pendaftaran bagi Program DesaMall@KPLB.

Kemudahan lain yang disediakan bahagian tersebut termasuk penerangan dan pendaftaran di UniKL, UCAM (Kolej Universiti Agrosains Malaysia) dan GiatMARA, manakala kemudahan pembiayaan perniagaan, latihan keusahawanan dan penyewaan premis di bawah MARA.

Turut disediakan kemudahan Sesi Business Matching oleh MARA, manakala GiatMARA menyediakan perkhidmatan kepada pengunjung seperti gunting rambut serta penyelenggaraan motosikal dan basikal.

Selain itu, agensi KEMAS turut menyediakan kemudahan penerangan dan pendaftaran program-program kendaliannya, manakala agensi RISDA dan FELCRA menjelaskan tentang program keusahawanan dan pembangunan ekonomi serta kemudahan pembiayaan perniagaan di bawah agensi serta anak syarikat masing-masing.

 

KARNIVAL TAMPIL KELAINAN

Sementara itu, pelbagai aktiviti sampingan yang dijangka memukau pengunjung turut diadakan termasuk Forum Perdana, demonstrasi membuat kek cawan, acara kayuhan berbasikal ‘Fun Ride,’ Pertandingan Liga Sepakan Penalti, pertandingan mewarna kanak-kanak terbuka, pameran kucing, persembahan artis jemputan daripada Datuk Nash, Hafiz Suip, Rannee Pat, Fieya Julia dan Winnie Albert, kursus pembangunan modal insan INFRA dan cabutan bertuah.

Mini KUD@Limbang turut menampilkan kelainan dengan mengetengahkan Hub Sukan buat pertama kalinya yang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Limbang.

Ia juga mendapat sokongan Kelab Gimnasium Rakyat Limbang, Kelab Sukan Rekreasi SURE Muhibah, Kelab Belia Muhibah Kampung Pelita (BEMU) dan Kelab Belia Sehati Taman Indah (Kelab Belia Saganao Limbang) dan beberapa pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) sukan yang berdaftar secara sah di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Menerusi pelaksanaan Hub Sukan ini, para pengunjung berpeluang melihat dan menyertai pertandingan dart, aerobaton dan e-sukan iaitu PUBG dan Mobile Legend yang menyediakan hadiah menarik buat para pemenang. 

Para pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi ‘jump rope’ dan ‘dodgeball’ dan mendapatkan keperluan sukan serta keperluan sukan luar daripada usahawan-usahawan yang didatangkan khas untuk memeriahkan lagi program itu.

Seperti mana pelaksanaan sebelum ini, Mini KUD@Limbang juga akan dimeriahkan lagi dengan penggunaan baucar penggalak jualan yang keseluruhannya bernilai RM15,000 yang diberikan secara percuma kepada semua pengunjung untuk merancakkan jualan usahawan.

 
Advertisement