Anda di sini

Malaysia iktiraf inisiatif, usaha IAEA selesai isu pengguna teknologi nuklear

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Malaysia mengiktiraf pelbagai inisiatif dan usaha yang telah dilaksanakan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam menyelesaikan isu global seperti penggunaan teknologi nuklear bagi mengawal pencemaran plastik, mengadakan Projek Tindakan Bersepadu Penyakit Zoonotik dan Rays of Hope untuk rawatan penyakit kanser.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba (gambar) dalam kenyataan semalam turut memaklumkan bahawa Malaysia bersedia serta komited untuk memberi sokongan dan kerjasama kepada IAEA.

“Malaysia berbangga atas kolaborasi bersama IAEA di bawah Program Kerjasama Teknikal dan berterima kasih atas bantuan dalam membangunkan Rangka Kerja Program Negara 2022-2027 yang telah dipersetujui secara bersama,” katanya yang menghadiri mesyuarat dua hala bersama Ketua Pengarah IAEA Rafael Mariano Gross kelmarin.

Pada mesyuarat itu, Malaysia menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merakamkan penghargaan kepada IAEA kerana telah memainkan peranan yang efektif bagi menggalakkan penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan terjamin.

Dr Adham turut menekankan bahawa Malaysia menyambut baik pembangunan lubang gerek pertama di dunia bagi pelupusan sumber radioaktif terkedap terpakai.

“Ucapan penghargaan turut disampaikan kepada IAEA atas bantuan dan kerjasama melalui latihan dan pembinaan kapasiti serta pelaksanaan projek, penilaian aspek keselamatan dan pembangunan garis panduan perundangan.

“Malaysia sedar akan kepentingan elemen sekuriti nuklear dalam mencegah penggunaan bahan nuklear dan teknologi nuklear yang tidak dibenarkan. Sebagai pusat hab serantau bagi penyediaan peralatan pengesanan sekuriti nuklear, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam mengukuhkan sekuriti nuklear di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata Agensi Nuklear Malaysia di bawah MOSTI sentiasa bersedia menawarkan bantuan dalam pembangunan kapasiti sumber manusia kepada negara anggota lain dan Malaysia juga akan meneruskan sokongan kepada IAEA sebagai pihak berkuasa teknikal tunggal yang kompeten bagi mengesahkan kewajipan kawal gunaan dalam kalangan negara anggota.

“Dalam hal ini, Malaysia komited untuk melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya di bawah Perjanjian Kawalseliaan NPT dengan IAEA selain mengalu-alukan pemeriksaan kawal gunaan di kemudahan reaktor penyelidikan negara - PUSPATI TRIGA MARK II,” katanya.

Terdahulu, Dr Adham dan delegasi Malaysia telah mengadakan lawatan ke Makmal Aplikasi Nuklear IAEA di Seibersdorf.

Makmal ini membangunkan teknologi nuklear untuk tujuan keamanan khususnya bagi sektor pertanian dan makanan, air dan alam sekitar, keselamatan sinaran dan kawalan penyakit bawaan vektor yang boleh digunakan untuk menangani cabaran sosioekonomi negara serta perubahan iklim. - BERNAMA
 

Advertisement