Anda di sini

Malaysia cemerlang pada Kejohanan Pickleball di Bali

Advertisement
Pemain-pemain Malaysia bersama Naib Gabenor Bali, Dr Ir Tjok Oka Artha Ardhana Sukawati (berdiri di tengah) serta pegawai-pegawai kejohanan.
Pemain-pemain Malaysia bersama Naib Gabenor Bali, Dr Ir Tjok Oka Artha Ardhana Sukawati (berdiri di tengah) serta pegawai-pegawai kejohanan.

MIRI: Pasukan Pickleball negara memenangi satu pingat emas, enam gangsa dan empat perak dalam kejohanan pickleball sedunia diadakan Kelab Sukan Liga, Sanur Bali pada 20 hingga 24 September lalu.

Seramai 21 pemain dari Miri, Kuching dan Kuala Lumpur mengambil bahagian pada kejohanan edisi ketiga itu.
Pemain negara terlibat dalam kategori individu, beregu dan beregu campuran pelbagai peringkat umur.

Pingat emas disumbangkan oleh Kent Hii Huong dan Monaliza Ibrahim untuk kategori Tiga Beregu Campuran (Intermediate) 50 tahun ke atas.

Pingat gangsa disumbangkan oleh Dalzshervyn Roshen Prabakaran bagi kategori Tiga Individu Lelaki Bawah 18 tahun, Lydia Wong kategori Tiga Individu Wanita 50 tahun ke atas, Eric Wong Sing bagi kategori Tiga Individu Lelaki 60 tahun ke atas, Lydia Wong dan Monaliza Ibrahim untuk kategori Tiga Beregu Wanita (Intermediate) 50 tahun ke atas, Delima Ibrahim dan Salbiah (Rose) Ibrahim kategori Empat Beregu Wanita (Advanced) 50 tahun ke atas serta Eric Wong Sing dan Adelina Ibrahim kategori Tiga Beregu Campuran  (Intermediate) 60 tahun ke atas.

Kent dan Monaliza menangi pingat emas bagi kategori Tiga Beregu Campuran 50 tahun ke atas.
Kent dan Monaliza menangi pingat emas bagi kategori Tiga Beregu Campuran 50 tahun ke atas.

Sementara pingat gangsa dimenangi Kirshelya Rhsme Prabakaran bagi kategori Tiga Individu Wanita Bawah 18 tahun, Judith Maiyor kategori Tiga Individu Wanita (intermediate) 50 tahun ke atas, Monaliza Ibrahim dan Rima Melati Ibrahim bagi kategori Lima  Beregu Wanita Terbuka 50 tahun ke atas serta Adelina Abdullah dan Judith Mayor kategori Tiga Beregu Wanita 50 tahun ke atas.

Presiden Persatuan Pickleball Malaysia (MPA), Farrell Choo ternyata amat berbangga dengan pencapaian pasukan negara pada kejohanan tersebut yang merupakan penyertaan pertama pasukan Malaysia pada kejohanan dibenarkan Persekutuan Pickleball Asia (AFP).

"Kita akan memanfaatkan pengalaman dari kejohanan ini untuk diguna pakai dalam program pembangunan sukan dan sebagai persediaan buat pemain-pemain pada kejohanan akan datang, " katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Farrell, MPA ditubuhkan di Miri memperluas promosi memperkenal sukan itu seluruh negeri ini dan diteruskan ke Negeri Sembilan, Johor, Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang dan Pahang.

Di Sarawak, program pembangunan telah diperkenalkan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Universiti Curtin Malaysia (Curtin), Kolej Vokasional Miri (KVM), SMK St Joseph Miri dan SMK St Columba Miri.

"Kurikulum sukan itu juga diperkenalkan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi di Negeri Sembilan dan Pahang. Kerana populariti sukan ini semakin meluas di seluruh negara, persatuan di peringkat kebangsaan akan bekerjasama dengan badan-badan sukan untuk membangunkan sukan ini di sekolah dan disertai kalangan masyarakat, " jelasnya.

Di peringkat negeri, Persatuan Pickleball Sarawak merancang menubuhkan sebuah dewan pickleball di Miri.

Farrell berkata, sokongan kerajaan negeri diperlukan untuk merealisasikan impian tersebut.

"Justeru, penduduk Miri dijemput datang melihat permainan sukan ini diadakan pada setiap  Rabu, Jumaat dan Ahad bermula jam 5 petang hingga 8 malam di Kompleks Tenis Miri. Empat gelanggang pickleball boleh digunakan oleh pemain-pemain berlatih dan bertanding.

"Persatuan turut menganjurkan sesi pickleball untuk pemain-pemain baharu pada Khamis dua minggu sekali bermula jam 6 petang hingga 9 malam," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement