Anda di sini

Laporan pakar komitmen ADB untuk perkukuh tindakan tangani iklim

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Asia (ADB) komited dalam usaha memperkukuh tindakan menangani iklim dan operasi perniagaan terbabit selain memperhebat aspek ketelusan pendedahan peluang dan risiko menerusi peningkatan dedahan berkaitan.

Dalam kenyataannya, bank itu berkata ini dipaparkan menerusi laporan pendedahan kewangan berkaitan iklim pertama ADB yang dikeluarkan pada semalam.

“Laporan Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim 2021 itu menggariskan kemajuan ADB dalam melaksanakan saranan Pasukan Petugas Mengenai Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD),” katanya.

Presiden ADB Masatsugu Asakawa turut menegaskan ADB sebagai bank iklim Asia serta Pasifik dan laporan TCFD itu merupakan langkah dalam komitmen bank itu memerangi perubahan iklim.

Bank pembangunan serantau itu telah menyatakan sokongan terhadap TCFD pada tahun lepas.

Langkah memenuhi keperluan pendedahan di bawah rangka kerja TCFD itu juga membolehkan ADB berkomunikasi dengan pihak berkepentingan bahawa ia komited untuk menyepadukan pengurusan risiko iklim serta penilaian peluang dalam operasinya.

“Ini turut memaparkan sokongan ADB terhadap pendedahan risiko iklim, bukan hanya dalam kalangan bank-bank pembangunan pelbagai hala, tetapi turut merentasi sektor korporat dan kewangan dunia,” katanya.

Laporan itu antara lainnya meliputi pendedahan kewangan mengenai dedahan ADB ke atas peluang serta risiko berkaitan iklim, mengetengahkan pelbagai inisiatif yang meletakkan ADB sebagai bank iklim Asia dan Pasifik serta memenuhi sasaran kewangan iklim yang ditetapkannya.

Aspek lain adalah pendedahan mengenai pelepasan gas rumah hijau dalaman ADB, termasuk peta haba pertama portfolio projek bank berkenaan terhadap penilaian awal risiko peralihan fizikal serta karbon.

Turut dipaparkan adalah maklumat perincian aktiviti-aktiviti akan datang, termasuk yang sedang dilaksanakan seperti pembangunan pelan tindakan perubahan iklim. - BERNAMA
 

Advertisement