Anda di sini

KPKT lulus peruntukan tambahan RM1,950,000 untuk Puncak Borneo

Advertisement
 

KUCHING: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan dana berjumlah RM1,950,000 untuk melaksanakan Projek Fizikal BP1 Tambahan di kawasan Parlimen Puncak Borneo bagi tahun 2022.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin (gambar) berkata, peruntukan itu telah diagihkan kepada tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Parlimen Puncak Borneo, iaitu RM310,000 untuk Majlis Daerah Bau (MDB), RM640,000 untuk Majlis Daerah Serian (MDS) dan RM1 juta untuk Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

"Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Menteri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican atas peruntukan khas yang diluluskan berjumlah RM1,950,000 untuk Puncak Borneo," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Willie berkata, MDB menggunakan dana tersebut untuk melaksanakan pelbagai projek fizikal, iaitu projek membina jalan dan lorong Kampung Gumbang sebanyak RM100,000, menaik taraf longkang dan sistem perparitan di Kampung Mogag (RM100,000), membina jalan dan menaik taraf jambatan kayu Kampung Seropak (RM50,000), menaik taraf jalan menuju ke dewan serbaguna Kampung Pedaun Bawah (RM50,000) dan kos membina gelanggang sepak takraw Kampung Tringgus Rabak Rotan (RM10,000).

MDS pula katanya, menggunakan peruntukan berjumlah RM640,000 untuk projek membina gelanggang futsal Kampung Semeru sebanyak RM200,000, membina dewan serbaguna Kampung Sungai Burung (RM200,000), menaik taraf jalan dan tembok cerun Kampung Stabut (RM90,000), menaik taraf jalan Kampung Padus Stubot (RM50,000), menaik taraf sistem perparitan di Kampung Ampungan (RM50,000) dan menaik taraf jalan di Pekan Siburan (RM50,000).

"MPP pula menggunakan peruntukan berjumlah RM1 juta itu untuk projek menaik taraf (fasa kedua) lampu jajaran Puncak Borneo bernilai RM950,000 dan menaik taraf sistem perparitan di Kampung Bawang sebanyak RM50,000.

"Semua projek berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan akan dilaksanakan oleh PBT masing-masing sebagai badan perlaksana," jelas Willie.

Beliau berharap pembangunan yang disalurkan akan memberi manfaat kepada rakyat di kawasan Parlimen Puncak Borneo.
 

Advertisement