Anda di sini

Kes demam denggi meningkat pada minggu Epidemiologi ke-38 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-38 iaitu dari 18 hingga 24 Sept tahun ini, meningkat 12.5 peratus kepada 1,533 kes berbanding 1,363 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata peningkatan itu menjadikan kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 42,084 kes berbanding 19,423 kes bagi tempoh sama tahun lepas. 

Beliau berkata kes kematian akibat komplikasi denggi juga meningkat kepada 24 kes berbanding 13 kematian bagi tempoh yang sama pada 2021.

“Jumlah lokaliti titik panas (hotspot) juga meningkat pada ME ke-38 iaitu 48 lokaliti hotspot berbanding 42 lokaliti pada minggu sebelumnya dengan 28 lokaliti dilaporkan di Selangor, Sabah (15), Kuala Lumpur dan Putrajaya (lima),” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata survelan chikungunya merekodkan lapan kes pada ME ke-38 dengan tiga kes di Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing dua kes di Selangor dan Pulau Pinang serta satu kes di Kelantan, sekali gus menjadikan kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 646 kes.

Bagi survelan zika, sebanyak 1,452 sampel darah dan 15 sampel urin telah dijalankan saringan dan kesemua hasil adalah negatif.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata musim hujan yang berselang-seli dengan cuaca panas merupakan keadaan yang ideal bagi nyamuk Aedes berkembang biak. 

Justeru beliau menasihatkan orang ramai memastikan kawasan berhampiran rumah seperti taman rekreasi dan tanah lot kosong tidak mempunyai longgokan bekas berpotensi pembiakan dengan menjalankan gotong-royong melupuskan barang tidak terpakai di kawasan kejiranan. 

“Nyamuk Aedes hanya memerlukan air yang sedikit untuk bertelur dan telur dapat bertahan selama lapan bulan dalam keadaan kering. - BERNAMA
 

Advertisement