Anda di sini

Kerajaan diharap wujudkan Skim Perumahan Belia dalam Bajet 2023: Mazlan

Advertisement
MAZLAN JOEHARI MANAN
MAZLAN JOEHARI MANAN



KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diharap dapat mewujudkan Skim Perumahan Belia dalam Bajet 2023 akan datang sebagai usaha membantu golongan itu memiliki kediaman yang pada ketika ini amat sukar ekoran peningkatan harga hartanah.


Pengerusi Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah (GABUNGAN), Mazlan Joehari Manan (gambar) berkata, skim tersebut perlu dibentang dalam Bajet 2023 nanti bagi mengurangkan beban golongan belia dengan kadar sewa yang semakin meningkat.


"Ekoran peningkatan harga hartanah dan juga kelembapan ekonomi pada ketika ini, ianya memberi tekanan kepada para belia untuk memiliki rumah dengan kadar sewa yang turut meningkat setiap tahun.


"Justeru kerajaan perlu memberi fokus terhadap belia dalam bajet akan datang bagi memastikan nasib mereka mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan, " katanya.


Dalam perkembangan sama, Mazlan turut berharap kerajaan dapat menambah baik bantuan-bantuan kepada usahawan belia dengan memudahkan mereka yang berhasrat untuk memulakan perniagaan dari segi dokumentasi dan pendaftaran.


Jelasnya, bagi usahawan muda yang ingin memulakan perniagaan, kerajaan diharap dapat menyediakan dana 'startup' dalam bentuk pinjaman ataupun secara 'one-off'.


Sekiranya dana 'startup' diberikan secara pinjaman, kerajaan harus mencari mekanisma sesuai dengan institusi perbankan untuk mengenakan kadar faedah pinjaman yang lebih rendah bagi memastikan usahawan belia tidak terbeban.


Tambah beliau lagi, bagi usahawan-usahawan muda yang telah berniaga dan mempunyai potensi untuk berkembang, geran atau Dana Galakan seharusnya dipertimbangkan oleh kerajaan bagi memastikan perniagaan mereka lebih berdaya saing.


Jelasnya, geran atau dana itu penting untuk menggalakkan mereka beralih dari perniagaan semasa kepada digital agar ianya sesuai dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).


Justeru Kerajaan persekutuan harus memberi perhatian yang lebih sesuai dengan konsep 'Keluarga Malaysia', dengan menyalurkan peruntukan yang lebih besar kepada negeri Sabah terutamanya dalam soal belia termasuklah aspek-aspek lain seperti keperluan asas rakyat Sabah seperti air, elektrik dan jalan raya.

  • oleh
  • Advertisement