Anda di sini

Karnival keusahawanan promosi produk makanan terkenal Sarawak di Melaka

Advertisement
Wan Zain bersama Talip (tengah, duduk) serta tetamu lain pada perasmian penutupan Karnival Keusahawanan Anak Sarawak di Melaka, baru-baru ini.
Wan Zain bersama Talip (tengah, duduk) serta tetamu lain pada perasmian penutupan Karnival Keusahawanan Anak Sarawak di Melaka, baru-baru ini.

MIRI: Karnival Keusahawanan Anak Sarawak mampu membuka peluang dan ruang kepada usahawan dari Sarawak untuk mempromosikan produk makanan terkenal di Sarawak di Melaka.

Pengerusi Persatuan Anak Sarawak Melaka (PASM) Datuk Wan Zain Syed Modzar berkata, karnival terbabit disertai ramai usahawan dari Sarawak yang ingin mengembangkan perniagaan.

"Jualan produk popular dari Sarawak seperti kek lapis, laksa Sarawak, mi kolok, umai dan sebagainya dijual sebagai usaha kita memperkenalkan makanan tempatan kepada pelancong di sini," ujarnya semasa berucap pada Majlis Penutupan Karnival Keusahawanan Anak Sarawak di Aeon Mall Bandar Baru Melaka, baru-baru ini.

Di samping itu katanya, produk lain seperti kraf tangan, ikan terubuk masin, belacan dan pelbagai tetap menjadi pilihan peniaga kecil untuk dijual kepada pengunjung di bandar raya pelancongan Melaka.

Wan Zain berkata, produk berkenaan sememangnya menjadi tarikan kepada pengunjung seterusnya menjana pendapatan tambahan kepada usahawan yang terlibat.

"PASM membantu usahawan bukan hanya datang dari Sarawak tetapi mereka yang sudah lama bermastautin di Melaka dan terlibat dalam aktiviti perniagaan secara fizikal atau maya," katanya lagi.

Beliau percaya dengan penganjuran karnival berkenaan akan membuka lebih besar peluang untuk mengembangkan rangkaian perniagaan mereka di Sarawak dan Melaka.

"Meskipun ia julung kali diadakan, namun sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dan kita berharap karnival ini akan diadakan dalam skala lebih besar pada masa akan datang," jelasnya.

Sementara itu katanya, PASM merancang mewujudkan Pasar Borneo, Dapur Sarawak yang menjual makanan tradisi Sarawak serta Koperasi PASM.

"PASM juga merancang membina Kompleks Perkampungan Kebudayaan Sarawak yang bakal menyediakan sebuah dewan pameran adat istiadat negeri Sarawak.

"Ia juga mempunyai pentas persembahan tarian budaya Sarawak, rumah panjang, rumah Melanau, rumah Melayu, Orang Ulu dan Bidayuh yang dibuka untuk pelancong dalam dan luar negara," jelasnya.

Dewan katanya, bakal diberi nama sebagai Dewan Datuk Patinggi Abdul Ghafur sekiranya  dipersetujui oleh kerajaan negeri Sarawak.

Majlis perasmian penutupan karnival itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip.

Hadir sama ialah Pengerusi Melaka First Datuk Azmi Kasimin serta tetamu dan usahawan dari Sarawak.
 

  • oleh
  • Advertisement