Anda di sini

Jadi mangsa keganasan rumah tangga: Wanita OKU mental mohon bantuan rumah, bilik sewa murah

Advertisement
Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) mental, yang mendakwa sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga, memohon bantuan mana-mana pihak untuk menyediakan rumah atau bilik pada harga murah kerana sudah tidak sanggup tinggal bersama suaminya. -Gambar Bernama
Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) mental, yang mendakwa sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga, memohon bantuan mana-mana pihak untuk menyediakan rumah atau bilik pada harga murah kerana sudah tidak sanggup tinggal bersama suaminya. -Gambar Bernama

IPOH: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) mental, yang mendakwa sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga, memohon bantuan mana-mana pihak untuk menyediakan rumah atau bilik pada harga murah kerana sudah tidak sanggup tinggal bersama suaminya. 

Mangsa, 36, yang hanya ingin dikenali sebagai W, berkata dia berkenalan dengan suaminya, 40, melalui segmen kenalan di majalah dan berumah tangga pada 2014.

“Semuanya tidak seindah yang disangka apabila suami saya mula menunjukkan sisi gelapnya dua minggu selepas perkahwinan dengan perlakuan membuang dan mencampak barang di dalam rumah serta memukul saya.

“Kini, saya mendapat bantuan bayaran sewa rumah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450... saya ingin keluar dari rumah ini serta memulakan hidup baru dan memohon bantuan orang ramai yang sudi menawarkan rumah atau bilik pada harga yang rendah kepada kami,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Lebih memilukan, emak W yang berusia 62 tahun dan berkerusi roda selepas kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis turut menjadi mangsa dera apabila lelaki itu ingin melepaskan kemarahan.

“Dia mencampakkan kerusi roda ke arah saya dan emak sehingga mendapat perhatian jiran... mereka kemudian menelefon ambulans dan membawa kami ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan.

“Saya tidak pernah membuat laporan polis sehinggalah jururawat yang merawat saya dan emak melakukannya kerana merasakan kami telah didera,” katanya.

Wanita itu berkata suaminya sudah tiga kali ditahan polis namun dibebaskan kerana tiada bukti kukuh dan lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak Low Guo Nan berkata isu itu perlu diberi keutamaan oleh semua pihak serta perlu segera dilaporkan agar tidak berlanjutan. - BERNAMA
 

Advertisement