Anda di sini

Hubungan dua hala Sabah, Brunei dipertingkat

Advertisement
 Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Sultan Hassanal Bolkiah selepas pertemuan di Istana Nurul Iman di sini.
CENDERAMATA: Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Sultan Hassanal Bolkiah selepas pertemuan di Istana Nurul Iman di sini.

BANDAR SERI BEGAWAN: Sabah mengharapkan hubungan dua hala dengan Brunei terus dipertingkat selepas sempadan kedua-dua negara dibuka semula.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata beliau optimis kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya perdagangan akan berkembang dengan melihat perdagangan Sabah dan Brunei meningkat lebih empat kali ganda daripada RM311.7 juta pada 2017 kepada RM1.48 bilion pada Ogos 2022.

“Sabah sentiasa mementingkan hubungan dengan Brunei,” katanya semasa menghadap Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di sini.

Ini adalah lawatan pertama Hajiji ke Brunei sejak dilantik sebagai Ketua Menteri.

Beliau diiringi Speaker Dewan Undangan Sabah (DUN) Sabah Datuk Kadzim M Yahya, Menteri Tugas- Tugas Khas Datuk Arifin Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.

Hajiji turut berkongsi dengan Sultan Hassanal Bolkiah berkenaan pencapaian pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah - Barisan Nasional (GRS-BN).

Sejak Kerajaan Negeri GRS-BN mengambil alih tampuk pentadbiran dua tahun lalu, Sabah berjaya mencatatkan RM5.449 bilion kutipan hasil negeri pada 2021, mencapai RM389 juta dalam pelaburan domestik dari Januari hingga Jun 2022 dan RM9.9 bilion dalam Pelaburan Langsung Asing ( FDI) dari Januari hingga September tahun ini.

Hajiji berkata Sabah juga mengalu-alukan pelawat dari Brunei, yang berkembang selepas pembukaan semula sempadan dengan penerbangan pertama Syarikat Penerbangan Diraja Brunei ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 6 Mei tahun ini.

“Susulan pembukaan semula sempadan, rakyat Brunei turut melalui jalan darat untuk melawat Sabah mulai 1 Ogos tahun ini.

“Seramai 78,605 rakyat Brunei melawat Sabah pada 2019 tetapi jumlah itu menjunam kepada 5,494 pada 2020 berikutan penutupan sempadan,” katanya.

Hajiji turut menyampaikan jemputan kepada Sultan untuk lawatan timbal balas ke Sabah.

  • oleh
  • Advertisement