Anda di sini

Guru India dituduh bunuh pelajar atas kesilapan ejaan

Advertisement
 

NEW DELHI: Polis India sedang memburu seorang guru yang dituduh telah memukul seorang pelajar kasta rendah sehingga mati atas kesilapan ejaan, kata pihak berkuasa kelmarin, selepas mengawal protes ganas yang dicetuskan oleh kejadian itu.

Nikhil Dohre dipukul dengan batang besi dan ditendang sehingga dia tidak sedarkan diri oleh guru sekolah menengahnya pada awal bulan ini selepas tersalah eja perkataan “sosial” dalam peperiksaan, menurut aduan polis yang dibuat oleh bapanya.

Remaja berusia 15 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaannya pada Isnin di sebuah hospital di negeri Uttar Pradesh, dan tertuduh telah melarikan diri dari kawasan itu.

“Dia sedang melarikan diri, tetapi kami akan menangkapnya tidak lama lagi,” kata pegawai polis Mahendra Pratap Singh.

Dohre lahir dalam komuniti Dalit, merupakan golongan terendah dalam sistem kasta India dan telah menjadi mangsa kepada prasangka dan diskriminasi selama beberapa abad.

Kelmarin, beratus-ratus orang memenuhi jalanan selepas berita kematian Dohre tersebar di daerah Auraiya, lokasi serangan itu.

Orang ramai membakar kenderaan polis selain menuntut guru terbabit ditangkap sebelum upacara pembakaran mayat pelajar itu. — AFP
 

Advertisement