Anda di sini

Filipina hantar pulang 40,000 pekerja China 

Advertisement
 

MANILA: Filipina akan menghantar pulang 40,000 pekerja China dalam tindakan keras ke atas industri permainan dan perjudian dalam talian tanpa lesen, kata pihak berkuasa kelmarin, selepas menerima laporan penculikan, pelacuran dan pembunuhan dalam industri tersebut.

Pengendali firma perjudian luar pesisir Filipina, atau POGO, telah berkembang pesat sejak 2016 ketika bekas presiden Rodrigo Duterte memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih erat dengan China.

Tetapi kemasukan puluhan ribu pekerja China dalam sektor ini, yang menyasarkan pelanggan di China, di mana perjudian ialah haram, telah menimbulkan masalah.

Ramai rakyat Filipina mengadu POGO telah mengelak cukai dan menaikkan kadar hartanah namun tidak menyediakan peluang pekerjaan kerana tidak ramai penduduk tempatan bertutur bahasa Cina.

Setiausaha Kehakiman Crispin Remulla baru-baru ini mengerahkan polis untuk menahan 175 pengendali yang beroperasi secara haram dengan lesen mereka telah dibatalkan.

Bulan depan, Filipina akan mula menghantar pulang 40,000 warga China yang bekerja dalam industri itu, kata jurucakap kementerian keadilan Dominic Clavano, selepas timbul laporan bahawa POGO terlibat dalam “pembunuhan, penculikan dan pelacuran”.

“Ini tugas sebenar kami buat masyarakat dan memastikan jenayah ini tidak dilakukan,” tegas Clavano.

“Kami fikir jalan yang terbaik adalah untuk menghantar isyarat bahawa tingkah laku seperti ini tidak boleh ditoleransi, ia tidak boleh diterima oleh negara.”

China, yang sebelum ini menggesa Filipina untuk mengharamkan semua bentuk perjudian dalam talian, mengalu-alukan tindakan keras ini.

“Jenayah yang didorong dan dikaitkan dengan perjudian dalam talian bukan sahaja membahayakan kepentingan China dan hubungan China-Filipina, tetapi juga menjejaskan kepentingan Filipina,” kata kedutaan China di Manila.

Kira-kira 34 POGO mempunyai lesen untuk beroperasi dan sekitar 130 perkhidmatan sokongan didaftarkan, menurut pengawal selia industri permainan Filipina.

Data terkini oleh pengawal selia menunjukkan ia telah membatalkan 40 lesen POGO dan 174 penyedia perkhidmatan.

Setiausaha Kewangan Benjamin Diokno berkata pada awal bulan ini bahawa dia mahu permainan dalam talian diharamkan.

“Jika anda bertanya pendapat peribadi saya mengenai perkara ini, ayuh kita hentikan POGO kerana ia mendatangkan kerosakan sosial,” katanya pada sidang Dewan Negara.

Diokno berkata pendapatan daripada POGO memuncak pada 2020 iaitu 7.2 bilion peso (RM1.63 bilion) dan telah jatuh mendadak tahun lepas kepada 3.9 bilion peso.

Bukan semua pihak bersetuju.

David Leechiu, ketua eksekutif Leechiu Property Consultants yang berpangkalan di Manila, menganggarkan ekonomi Filipina bakal kehilangan 200 bilion peso dalam pendapatan sewa dan gaji jika POGO dihentikan.

“Ia merupakan salah satu pemacu ekonomi yang kita tidak boleh ambil mudah,” katanya.

“Ya, ada masalah tetapi perniagaan apakah yang tidak mendatangkan masalah?” — AFP 
 

Advertisement