

KOTA KINABALU: Eksesais Satria Perkasa yang dilaksanakan di sekitar kawasan Keningau, Nabawan, Sepulut dan Kalabakan bermula 15 hingga 25 September lalu mampu menguji kemampuan tempur Formasi Briged Ke-5 Infantri Malaysia (5 Briged).
Panglima 5 Divisyen, Mej Jen Abdul Rahman A. Wahab berkata latihan seumpama ini seiring dengan Tonggak Pertama Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan.
“Pelaksanaan Eksesais Satria Perkasa mampu menguji keupayaan sebenar setiap peringkat anggota tentera dalam melaksanakan pertempuran.
“Eksesais yang berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) dilaksanakan bagi menguji kemampuan pasukan lebih didedahkan dalam aspek taktikal berkonsepkan peperangan konvensional dalam fasa ofensif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Penutup Eksesais Satria Perkasa di Sapulut.
Tambahnya beliau juga berharap agar pegawai serta anggota terus mempertingkatkan kemahiran ketenteraan serta keupayaan individu.
Katanya ini adalah bagi memastikan ketumbukan 5 Divisyen sentiasa bersiaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan kedaulatan negara amnya dan Sabah khasnya sentiasa terpelihara.