Anda di sini

Bot tunda dan tongkang ditahan APMM kerana lesen tamat tempoh, tiada permit bawa batuan 

Advertisement
Sebuah bot tunda dalam keadaan yang mencurigakan ditahan APMM.
Sebuah bot tunda dalam keadaan yang mencurigakan ditahan APMM.

MIRI: Gara-gara lesen telah tamat tempoh dan tidak mempunyai permit untuk membawa batuan, sebuah bot tunda bersama tongkang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada jarak 1.7 batu nautika barat muara sungai Miri di sini pagi pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Mohd Shafie Paing berkata bot tunda bersama tongkang dalam keadaan mencurigakan itu ditahan bot tunda APMM yang sedang menjalankan rondaan operasi di sekitar perairan Miri sekitar jam 11.35 pagi. 

“Hasil pemeriksaan mendapati lesen bot tunda tersebut telah tamat tempoh dan tidak mempunyai permit untuk membawa batuan dari Jabatan Tanah dan Galian. 

“Semua enam kru terdiri daripada dua warga tempatan, dua warga Indonesia dan dua warga India yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 53 tahun serta bot tunda bersama tongkang kemudiannya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini. 

Beliau berkata kesemua kru termasuk bot tunda dan tongkang yang ditahan kemudiannya diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Pulau Melayu untuk siasatan lanjut. 

“Kes akan disiasat di bawah Ordinan Kapal Saudagar 1952/60 kerana lesen tamat tempoh,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata APMM akan terus komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mencegah pelanggaran undang-undang, penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di Zon Maritim Malaysia amnya dan perairan Miri khasnya. 

“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” gesa beliau. 
 

Advertisement