Anda di sini

Benta Edible Oil Sdn Bhd nafi kilang minyak masak BESS tutup

Advertisement
LIM KO WII
LIM KO WII

TAWAU: Benta Edible Oil Sdn Bhd menafikan penutupan kilang pembungkusan semula minyak masak BESS seperti dalam kenyataan portal inisabahbah.com pada 27 September lalu.    

Pengurus Benta Edible Oil Sdn Bhd, Lim Ko Wii berkata kenyataan itu tidak benar sama sekali kerana sehingga kini kilang tersebut masih beroperasi.

Katanya, Benta Edible Oil Sdn Bhd menggesa pemilik portal inisabahbah.com supaya tampil memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya untuk meminda atau membatalkan kenyataan itu secepat mungkin.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh portal terbabit dilihat boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat setempat.  

“Kami akan mengambil tindakan undang-undang termasuk pampasan sekiranya kenyataan ini menyebabkan reputasi jenama BESS rosak dan mengakibatkan kerugian kepada syarikat,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, Benta Edible Oil Sdn Bhd kini beroperasi dengan baik dan mula menjana hasil positif selepas pelaksanaan pelan pemulihan sejak awal tahun ini.

“Syarikat ini dijangka akan menghadapi cabaran kerana banyak pesaing telah memasuki pasaran dan harga siling terkawal yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Namun, saya percaya bahawa syarikat ini akan menunjukkan prestasi yang lebih baik apabila ekonomi Sabah kembali pulih,” katanya.

Ko Wii berkata produk minyak masak BESS umumnya boleh didapati di kedai-kedai di negeri ini dan mempunyai empat varian untuk dipilih oleh pengguna.

“Kami menggalakkan semua rakyat di negeri ini supaya terus menyokong produk tempatan seperti BESS,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement