Anda di sini

Bajet 2023: Golongan bekerja sendiri harap lebih banyak bantuan kerajaan

Advertisement
Haziq berharap kerajaan dapat menurunkan harga barang dan menyediakan inisiatif bantuan tunai kepada peniaga menerusi Bajet 2023.
Haziq berharap kerajaan dapat menurunkan harga barang dan menyediakan inisiatif bantuan tunai kepada peniaga menerusi Bajet 2023.

KUCHING: Golongan yang bekerja sendiri berharap agar lebih banyak bantuan mahupun peruntukan khas daripada kerajaan menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.

Selain berdepan kesan pandemik COVID-19, mereka berpendapat bebanan terus bertambah berikutan harga barangan untuk berniaga turut meningkat.

 

Buat peniaga, Azlin Keria (gambar), 37, walaupun sudah dapat berniaga, namun masih ramai lagi khasnya mereka yang bekerja sendiri berdepan dengan kesukaran yang melibatkan ekonomi semasa.

"Ramai yang sudah boleh berniaga seperti biasa hari ini, namun masih ada lagi berdepan dengan kesukaran oleh peniaga-peniaga kecil seperti kami terutama harga barang semakin naik.

"Oleh itu, kami berharap agar kerajaan menyediakan peruntukan khas bagi golongan peniaga dan bekerja sendiri untuk melangsungkan perniagaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, bagi Mohd Nazirul Haziq Mohd Musa, 26, adalah menjadi harapan beliau agar kerajaan turut membantu dari segi penurunan harga barang.

"Saya harap kerajaan dapat menurunkan harga barang yang boleh dikatakan sebagai modal kepada peniaga.

"Sekiranya harga barang tinggi serta kos penyediaan makanan turut terjejas, peniaga secara tidak langsung akan menaikkan harga barang. 

"Hal ini (harga naik) sekali gus menyebabkan kuasa beli orang ramai berkurangan, justeru kerajaan perlu bertindak dalam perkara ini," jelasnya.

Haziq menambah, kerajaan juga perlu menyediakan inisiatif bantuan tunai kepada peniaga.

"Ini kerana peniaga hanya bergantung dengan hasil jualan untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka, lebih-lebih lagi setelah peniaga ini terjejas berikutan pandemik COVID-19," tegasnya.

 

Perkara yang sama diluahkan oleh Awang Kamarie Awang Karim (gambar), 46, yang meminta kerajaan agar meneliti setiap garis sudut keperluan untuk seluruh rakyat.

"Kerajaan bukan sahaja perlu menyediakan bantuan berupa modal kewangan, namun ia perlu menyeluruh dari aspek pelesenan khasnya mereka yang tinggal di luar bandar.

"Selain itu, penyediaan premis perniagaan khas juga penting supaya peniaga tidak terbeban dengan harga sewa selain mengurangkan birokrasi orang tengah yang mengaut keuntungan.

"Kurangkan prosedur untuk menyediakan agihan bantuan yang pilih kasih," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement