Anda di sini

Bajet 2023 diharap dapat memartabat persatuan etnik: PGS

Advertisement
AHMAD RAZALIE (kiri); GUPTAH VG (kanan)
AHMAD RAZALIE (kiri); GUPTAH VG (kanan)



KOTA KINABALU: Persatuan Gana Sabah (PGS) melahirkan harapan kepada kerajaan Persekutuan untuk menyediakan geran kepada persatuan-persatuan etnik dalam Bajet 2023 akan datang sebagai usaha memperkasa dan memelihara adat dan budaya.


Presiden PGS, Ahmad Razalie@Titus Andrew Selabin Sapawan (gambar) berkata, ia bertujuan memastikan persatuan etnik khususnya di Sabah dapat mendirikan pusat budaya masing-masing (bagi yang belum ada), menambahbaik fasiliti (bagi yang ada sudah ada pusat budaya) serta termasuklah bagi menjalankan aktiviti-aktiviti etnik.


Jelas beliau lagi, memandangkan negara sudah memasuki ke fasa endemik kegiatan pelancongan sudah tentu akan kembali rancak dan salah satu usaha untuk menjana ekonomi adalah melalui pelancongan yang berteraskan kebudayaan, yang memerlukan sokongan kerajaan.


Katanya, geran itu juga bukan sahaja dapat memastikan persatuan etnik terus aktif tetapi secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat dan juga negara melalui kedatangan pelancong asing.


Dalam pada itu, Ahmad Razalie turut menggesa kerajaan supaya menyediakan lebih banyak kursus dan latihan kepada para belia bagi memastikan golongan itu memiliki peluang pekerjaan sekaligus dapat menjana ekonomi tanpa perlu berhijrah ke luar negeri mahupun luar negara.


Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden PGS, Guptah VG Nair (gambar) turut meminta kerajaan untuk mewujudkan industri-industri kecil dan sederhana (IKS) di setiap daerah terutama di luar bandar bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat meningkatkan sosio-ekonomi.


Tambahnya, bagi daerah Keningau banyak pusat-pusat latihan berasaskan penternakan dan pertanian boleh diwujudkan memandangkan kawasan itu memiliki potensi yang besar.


Tambahan itu, Ahmad Razalie dan Guptah turut berharap agar pendidikan Bahasa Gana dan seni tari Gana dapat diwujudkan di sekolah-sekolah rendah dan menengah bagi memastikan budaya itu terus diwarisi oleh generasi baharu akan datang.

  • oleh
  • Advertisement