Anda di sini

Sumbangan eksport minyak, produk berasaskan sawit pada 2021 naik RM108.52 bilion

Advertisement
 

JOHOR BAHRU: Sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan eksport negara meningkat kepada RM108.52 bilion pada tahun lepas berbanding RM73.33 bilion pada 2020.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin (gambar) berkata, sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 juga bernilai RM44.98 bilion atau 53.38 peratus daripada keseluruhan KDNK dalam sektor agrikomoditi negara.

“Sehubungan itu, kementerian sentiasa menyokong penglibatan industri dalam memperkasa pengeluaran eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit untuk memastikan sektor agrikomoditi terus mencatat sumbangan KDNK yang memberangsangkan bagi menggalakkan pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam hal ini FGV Holdings Bhd muncul antara pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia yang menyumbang kepada 15 peratus daripada jumlah pengeluaran tahunan MSM Malaysia.

Tambahnya, bahagian hiliran FGV menyokong operasi huluan dengan menyediakan jaminan pengambilan MSM yang ditapis menjadi pelbagai produk berasaskan minyak sawit seperti oleokimia, biodiesel, minyak, lemak dan “fast moving consumer goods”.

Beliau berkata Delima Oil Products Sdn Bhd (DOPSB) misalnya, merupakan anak syarikat FGV Holdings yang memulakan operasi pada 2000 dan terus berkembang serta menguasai tiga operasi utama iaitu melibatkan penapisan minyak sawit, pengilangan produk minyak sawit diproses, pengedaran produk perindustrian dan pengguna.

“Produk dan jenama DOPSB kini dikenali di pasaran utama seperti ASEAN, Timur Tengah, Asia Barat, Eropah dan Afrika Barat. Antara jenama keluarannya ialah Saji, Adela, Seri Pelangi dan Tiga Udang.  

“FGV Kernel Products Sdn Bhd pula yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 terbabit dalam perniagaan melibatkan pemprosesan isirung sawit untuk menghasilkan minyak isirung sawit mentah (CPKO) dan ekstrak isirung sawit (PKE),” tambah beliau.

Terdahulu Zuraida telah mengadakan lawatan rasmi ke kilang Delima Oil Products dan FGV Kernel Products di Pasir Gudang, hari ini. - BERNAMA 

Advertisement