Anda di sini

Sarawak perlu import makanan bagi memastikan bekalan cukup hingga Krismas: Dr Rundi

Advertisement
 Dr Rundi (tiga kanan) menyaksikan penyerahan cek cura bernilai RM126,000 sumbangan Pengurusan MAT PP Sarawak Tahun 2022 daripada Zamri (kiri) kepada Dr Abdul Rahman (dua kiri) pada majlis tersebut, hari ini. Turut kelihatan, Martin (dua kanan) dan Dennis (kanan).
SUMBANGAN: Dr Rundi (tiga kanan) menyaksikan penyerahan cek cura bernilai RM126,000 sumbangan Pengurusan MAT PP Sarawak Tahun 2022 daripada Zamri (kiri) kepada Dr Abdul Rahman (dua kiri) pada majlis tersebut, hari ini. Turut kelihatan, Martin (dua kanan) dan Dennis (kanan).

KUCHING: Sarawak perlu mengimport makanan dari luar bagi memastikan bekalan mencukupi sehingga Krismas.

Demikian menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom ketika ditanya mengenai sama ada bekalan makanan semasa Sarawak mencukupi sehingga perayaan tersebut.

"Tidak. Kita masih perlu mengimport banyak (makanan).

"Seperti yang saya nyatakan tadi, beras kita sebagai contoh hanya 38 peratus dari tahap sara diri (SSL). Ia bermakna kita masih perlu mengimport 62 peratus lagi.

"Pengeluaran (makanan) mungkin memerlukan kos yang tinggi berbanding import yang lebih senang, namun untuk jaminan makanan, kita tiada pilihan, ia perlu dihasilkan. Sebagai contoh jika Thailand dan Vietnam tidak mahu menjual beras mereka, apa yang kita hendak makan?" ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) Ke-37 di sini, hari ini.

Dr Rundi berkata, kerajaan menyediakan tanah bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi seperti di Gran Stumbin serta tanaman lain untuk merangsang sekuriti makanan Sarawak.

"Kita perlu mengimbangi rancangan kita untuk melihat jaminan makanan mencukupi pada masa akan datang. Jika berlaku apa-apa dalam setahun, kita masih ada bekalan makanan," katanya.

Pada sidang media sama, beliau menyeru industri pertanian memperkasa pendekatan Perkongsian Awam-Swasta dengan Komuniti (PPP+C) agar dapat melangkah ke hadapan.

Katanya, ia termasuk PPNS yang perlu mengguna pakai langkah berkenaan, selain mempelajari teknologi baharu, proses dan sebagainya.

Dr Rundi juga menyatakan kemungkinan akan menjemput pelabur dari luar yang mempunyai keupayaan rangkaian dan pemasaran serta kapasiti untuk mengambil bahagian.

"Sementara kita mempelajari teknologi dan memindahkan teknologi, pada masa sama kita juga akan mendapat manfaat daripada peningkatan pengeluaran supaya menjelang 2030, kita boleh menjadi pengeksport bersih makanan," katanya.

Untuk melangkah ke hadapan, beliau berkata, perlu ada perubahan minda daripada pertanian tradisional kepada pertanian moden.

Bagaimanapun, Dr Rundi menegaskan semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini adalah platform yang tepat untuk mengubah minda.

"Dengan 176,000 ahli, merekalah yang kami sasarkan untuk mengubah cara amalan mereka supaya dapat melakukan perkara yang memberi pulangan lebih baik.

"Apabila perubahan telah berlaku, maka kita boleh terus bertanya kepada mereka apa yang mereka mahu, apa yang mereka bagus (lakukan) dan mengapa apa yang mereka amalkan selama ini tetapi tidak sampai ke mana-mana," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menterinya yang juga Pengerusi PPNS Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dalam ucapannya berkata, PPNS telah menjalinkan empat usaha sama dengan syarikat swasta untuk perniagaan berasaskan pertanian dengan dua lagi dijangka turut dimeterai.

"PPNS juga berhasrat menjadi pengedar utama input pertanian untuk Kedai Input Peladang PPK dengan harga lebih murah berbanding di pasaran terbuka.

"PPNS juga bercadang untuk mewujudkan usaha sama dengan PPK yang berminat dengan projek yang dikenal pasti oleh PPK yang secara langsung meningkatkan pendapatan PPK,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Martin Ben, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Datuk Zamri Yaakob dan Pengerusi PPK Baram Dennis Ngau.

Advertisement