Anda di sini

Rakyat harap Bajet 2023 fokus peruntukan lebih wajar

Advertisement
NURHAFIZAH (kiri), RYAS (kanan).
NURHAFIZAH (kiri), RYAS (kanan).

KOTA KINABALU: Setiap tahun pembentangan bajet adalah perkara yang paling dinantikan rakyat di seluruh negara tanpa mengira apa juga latar belakang.

Rakyat di negara ini secara keseluruhannya sentiasa mengharapkan peruntukan yang sewajarnya dalam semua bidang bagi membantu meningkatkan taraf hidup serta pembangunan ekonomi.

Tinjauan reaksi dan harapan Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada 7 Oktober ini mendapati ramai yang mengharapkan agar kerajaan menyediakan jumlah peruntukan yang setimpal dengan keperluan rakyat.

Kesan pandemik COVID-19 masih membelenggu rakyat terutama impak terhadap ekonomi yang menjejaskan mata pencarian masyarakat.

Bagi Nurhafizah Yusof, Bajet 2023 diharapkan dapat menyediakan peruntukan untuk pembangunan secara holistik dengan negeri-negeri lain, terutama apabila Sabah salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara.

"Agak tidak adil bagi saya apabila rakyat Sabah terpaksa menerima keadaan ekonomi yang agak mundur sedangkan sumber ekonomi negeri dipakai untuk pembangunan infrastruktur negeri-negeri lain.

"Isu ketidaksamarataan dari segi pembangunan iaitu infrastruktur  jalan raya, bekalan air, elektrik di luar bandar dan di bandar itu sendiri sangat ketara.

"Selain itu, penyediaan akses ke sekolah juga adalah penting. Tidak ada gunanya kemudahan sekolah jika pelajar-pelajar tidak dapat pergi ke sekolah kerana kekangan untuk mereka pergi ke sekolah, keadaan jalan yang merbahaya dan jauh," katanya kepada Utusan Borneo di sini. 

Sehubungan itu beliau berharap, bajet kali ini dapat melaksanakan gaji minimum RM1,500 kepada golongan yang bekerja di sektor swasta.

Dalam pada itu jelasnya, harga ayam di Sabah juga lebih mahal berbanding harga ayam di negeri-negeri lain, namun gaji rakyat Sabah lebih rendah berbanding negeri-negeri lain.

Sementara itu, pekerja swasta Ryas Simon mengharapkan Bajet 2023 dapat memberi keutamaan kepada golongan belia.

Menurutnya, golongan belia adalah aset yang amat berharga dan tonggak serta kekuasaan masa depan negara.

"Peruntukan yang wajar terutama melibatkan peluang pekerjaan, ruang dalam pelbagai sektor, bantuan serta latihan yang komprehensif juga perlu disediakan.

"Langkah ini bagi memastikan golongan belia dapat berdaya saing seiring dengan perkembangan dunia pada masa kini," jelasnya.

Beliau berkata, maju atau mundurnya sesebuah negara itu bergantung kepada aset negara iaitu golongan belia.

Katanya, generasi pada masa akan datang adalah golongan yang bakal menggalas tugas untuk membawa negara ke arah yang lebih baik.

MAZLINAH (kiri), JOYCE (kanan).
MAZLINAH (kiri), JOYCE (kanan).

Dalam bidang sukan pula, atlet Sabah Joyce Heng berharap kerajaan dapat menyediakan sokongan dari segi elaun untuk menyertai pertandingan.

Menurutnya, mana-mana atlet yang berjaya meraih kemenangan dalam apa juga acara sukan sewajarnya diberikan insentif.

"Kalau atlet yang menang diberikan insentif, ini menambahkan lagi semangat kami untuk berusaha lebih gigih untuk mengharumkan nama negara pada masa hadapan," katanya.

Joyce sudah beberapa kali meraih kejayaan dan membantu mengharumkan nama Sabah dan Malaysia dalam arena sukan di persada kebangsaan dan antarabangsa.

Sebelum ini, beliau memenangi beberapa pingat dalam pertandingan 'Sabah Masters Athletics Open Championship' termasuk mencipta rekod baharu kategori 'Shotput'.

Sementara itu, bagi usahawan pembekal makanan Mazlinah Abdullah, penurunan harga barangan menjadi keutamaan yang perlu difokuskan kerajaan dalam Bajet 2023.

Selaku pembekal makanan bermasak Islam untuk badan-badan kerajaan dan orang perseorangan, beliau amat berharap kerajaan dapat memantau sekali gus menurunkan harga barang mentah dan kering.

"Ini kerana kami pengusaha makanan sangat terkesan sejak kebelakangan ini disebabkan oleh kenaikan harga barang yang keterlaluan.

"Justeru, kami juga terpaksa menaikkan harga makanan dalam keadaan terpaksa. Keadaan seperti inilah yang amat menyusahkan rakyat," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement