Anda di sini

Rakyat berperanan martabatkan bahasa Melayu

Advertisement
 Suryady (kanan) menerima cendera kenangan daripada Sharifuddin.
CENDERA KENANGAN: Suryady (kanan) menerima cendera kenangan daripada Sharifuddin.

TAWAU: Setiap rakyat di negara ini perlu memainkan peranan dalam memartabatkan dan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu supaya ia lebih dikenali oleh masyarakat luar.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata setiap rakyat perlu berbangga untuk menggunakan bahasa Kebangsaan ini.

Katanya, bahasa Melayu adalah antara bahasa yang paling ramai dituturkan di dunia selain Inggeris, Sepanyol, Cina dan Hindi.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga turut menggunakan bahasa Melayu ketika berucap dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

“Justeru, kita dapat lihat pemimpin nombor satu negara juga menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan diplomatik terbesar itu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demikian ketika memberikan ucapan perasmian Karnival Bahasa Melayu Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Daerah Tawau, di SMK Kinabutan II, di sini hari ini.

Menurutnya, pertandingan berbahasa ini sangat perlu bagi meningkatkan kemahiran pelajar bertutur dengan baik dan berani tampil di hadapan khalayak ramai.

“Kemahiran itu penting apabila pelajar mahu melanjutkan pengajian ke menara gading ataupun berada dalam dunia pekerjaan.

“Ia juga menjadi satu kelebihan bagi seseorang yang mempunyai keyakinan bertutur dengan baik dan berkesan serta berani berinteraksi dengan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, kemahiran berkomunikasi adalah satu tuntutan yang sangat diperlukan kerana kegagalan satu bangsa disebabkan sistem komunikasinya tidak dititikberatkan.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, tidak memadai hanya penyampaian ilmu di dalam kelas sahaja, tanpa  adanya aktiviti sokongan yang mencerna dan menjana ilmu.

“Oleh itu, pertandingan ini adalah satu manifestasi bahawa kemahiran bahasa itu dapat dipertingkatkan lagi dan sudah pasti melahirkan pelajar yang lebih aktif serta menguasai kemahiran berbahasa,” katanya.

Suryady berkata, dengan adanya pertandingan pidato, deklamasi sajak, dendangan syair dan bercerita ini sudah pasti memberikan kemahiran kepada semua pelajar yang terlibat.

“Saya berharap, melalui pertandingan ini dapat melahirkan generasi berketerampilan, bijak menggunakan bahasa Melayu dan menjadi contoh kepada pelajar lain,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan (PPD) Daerah Tawau, Vea Sarima dan Pengetua SMK Kinabutan II, Sharifuddin Kamarzaman.

  • oleh
  • Advertisement