Anda di sini

PBDS sedia terima Ali Biju

Advertisement
 

MIRI: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang kembali menggunakan nama asalnya berkuat kuasa 30 Ogos lalu, bersedia untuk membuka pintu kepada Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju jika beliau berminat menyertai parti itu. 

Presiden PBDS Bobby William (gambar) berkata, walaupun parti itu tidak pernah menjemput Ali secara rasmi, namun tidak bermakna mereka menutup pintu untuk beliau sebaliknya sentiasa terbuka. 

Bercakap kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini Bobby berkata, sehingga kini hanya Ali yang masih belum ada khabar angin mengemukakan permohonan untuk menyertai mana-mana parti politik tempatan dan masih kekal bersama BERSATU. 

Ali merupakan Ahli Parlimen Dayak di negeri ini yang masih belum menyertai parti politik tempatan selepas rakan seperjuangannya sebelum ini, Ahli Parliman Puncak Borneo Datuk Willie Mongin membuat keputusan menyertai PBB, manakala Ahli Parlimen Selangau Baru Bian selesa bersama PSB sejak menyertainya pada 30 Mei 2020.

Manakala Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang pula menyuarakan hasrat untuk kembali bersama PRS namun permohonannya masih belum diluluskan. 

"Bukan hanya kita buka pintu kepada Ali malah PBDS amat mengalu-alukan ahli politik Dayak yang lain, khususnya bekas ahli-ahli PBDS dahulu yang ingin kembali semula kepada PBDS asalkan mereka mempunyai agenda perjuangan politik yang sama," katanya lagi. 

Malah menurut Bobby, PBDS kini membuka pintu seluas-luasnya untuk kaum Dayak ini negeri ini yang mahu menyertai mereka bagi mengukuhkan akar umbi parti itu dalam perjuangannya terhadap kaum Dayak di Sarawak dan mengembalikan semula kegemilangan PBDS seperti pada era 80-an. 

Ditanya mengenai keahlian parti itu, beliau memberitahu ahli-ahli yang sudah berdaftar secara rasmi dengan PBDS sehingga kini ialah lebih 1,000.

Justeru, ia kini mempergiat usaha merekrut ahli-ahli baharu. 
"Kami boleh mengatakan bahawa PBDS merupakan satu-satunya parti kaum Dayak yang ada untuk menyediakan platform perjuangan politik kaum Dayak dan agenda untuk masyarakat Dayak," katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan Bobby berkata, tidak mustahil bagi PBDS menjadi kerajaan pemerintah suatu hari kelak, namun ia harus bersama dengan perikatan kerajaan yang baharu. 

"Kita (PBDS) tidak akan menyertai perikatan parti-parti politik yang memerintah negeri ketika ini," katanya merujuk kepada GPS. 
 

Advertisement