Anda di sini

Kerajaan Sarawak ambil tanah rakyat ikut peruntukan undang-undang

Advertisement

SARIKEI: Kerajaan Sarawak tidak akan mengambil tanah rakyat yang terlibat dengan projek kerajaan secara percuma, sebaliknya diambil berdasarkan kepada peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan antara lainnya menyebut tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

"Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang mencukupi.

"Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak.

"Pampasan ini akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa," jelasnya pada Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah Projek Jalan Merudu/Sungai Baji Sarikei di Dewan Suarah Sarikei, hari ini.

 Awang Tengah (tiga kanan), Len Talif (tiga kiri) dan Huang (dua kanan) merakam kenangan bersama para penerima cek pampasan tanah bagi projek Jalan Merudu/Sungai Baji Sarikei di Dewan Suarah Sarikei, hari ini. - Gambar Anthony Aga
UNTUK ALBUM: Awang Tengah (tiga kanan), Len Talif (tiga kiri) dan Huang (dua kanan) merakam kenangan bersama para penerima cek pampasan tanah bagi projek Jalan Merudu/Sungai Baji Sarikei di Dewan Suarah Sarikei, hari ini. - Gambar Anthony Aga

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu memberitahu, kerajaan Sarawak menyerahkan 203 cek pampasan tanah bagi projek Jalan Merudu/Sungai Baji Sarikei yang berjumlah RM7,997,859.87 melibatkan 162 penerima.

"Seperti mana kita sedia maklum bahawa Jalan Merudu/Sungai Baji Sarikei ini memberi manfaat dan kemudahan penduduk di kawasan Merudu, Baji, Sari dan sekitarnya di samping memudahkan penduduk sekitar memasarkan hasil pertanian mereka ke pusat bandar Sarikei.

"Kerajaan sentiasa berusaha memberikan kemudahan dan memperbaiki ekonomi rakyatnya dalam memberikan peningkatan kepada semua aspek agar tiada siapa yang merasakan dirinya ketinggalan daripada arus pembangunan," ujarnya.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datu Len Talif Salleh, ADUN Repok Dato Sri Huang Tiong Sii, wakil Pengarah JTS Sarawak Hardi Fadilah Hamzah, Penguasa JTS Bahagian Sarikei Thian Choon Kui.

Advertisement