Anda di sini

Kemalangan babit kereta, pikap di Selangau, kanak-kanak maut

Advertisement
Nahas jalan raya di Jalan Selangau, hari ini menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia.
Nahas jalan raya di Jalan Selangau, hari ini menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia.

SELANGAU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia ketika dikejarkan ke Klinik Kesihatan Selangau selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Selangau berhampiran Rumah Dali Merawing di Simpang Dijih, dekat sini pagi tadi.

Dalam kemalangan sekitar jam 10 pagi itu, kereta yang dinaiki mangsa bersama empat sekeluarga dipercayai bertembung dengan sebuah trak pikap.

Akibat pelanggaran itu, bahagian hadapan kereta remuk teruk, manakala pikap itu terbabas dan terbalik di bahu jalan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sarawak Penguasa Kanan I Janggan Muling berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Selangau.

"Dalam kemalangan itu, mangsa seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut manakala lapan lagi termasuk empat mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda mengalami cedera ringan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurunya, pihaknya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 10.20 pagi.

Seramai enam anggota berserta jentera Fire Rescue Tender(FRT) bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, lima mangsa iaitu tiga orang dewasa, seorang remaja dan seorang kanak-kanak perempuan menaiki kereta, manakala empat mangsa iaitu dua dewasa dan dua kanak-kanak menaiki pikap.

Janggan berkata, kesemua mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

Katanya lagi, empat penumpang pikap hanya mengalami cedera ringan.

Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Klinik Kesihatan Selangau dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda bomba, ERT Pan Borneo dan juga kenderaan Angkatan Pertahan Awam (APM).

"Pasukan bomba hanya menjalankan kerja-kerja pembersihan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.10 pagi," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Advertisement