Anda di sini

Kemahiran pegawai, kakitangan MOTS dipertingkat laksana tugas

Advertisement
 Para peserta kursus merakamkan kenangan bersama barisan tetamu kehormat iaitu (duduk, dari kiri) Buckland, Henry, Lee, Dr Jerip dan Tiong.
TERBAIK: Para peserta kursus merakamkan kenangan bersama barisan tetamu kehormat iaitu (duduk, dari kiri) Buckland, Henry, Lee, Dr Jerip dan Tiong.

KUCHING: Pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) serta agensi di bawahnya kini dilengkapi kemahiran dalam menjalankan pemeriksaan rutin bagi amalan penyelenggaraan betul untuk 192 dermaga dan jeti di bawah jagaan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ini termasuk aspek struktur lain sektor pengangkutan di negeri ini.

"Pegawai dan kakitangan kementerian khasnya peserta Kursus Pemerhatian dan Analisis Forensik terhadap Konkrit Bertetulang harus terus menuntut ilmu dan meningkatkan kemahiran supaya dapat melaksanakan tugas dengan cekap serta berkesan dan menyumbang ke arah pembangunan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kursus Kursus Pemerhatian dan Analisis Forensik terhadap Konkrit Bertetulang yang diadakan selama empat hari bermula Ahad lalu di sebuah hotel di sini, hari ini.

Kursus itu disertai 40 pegawai dari MOTS dan agensinya LSS.

Lee berkata, MOTS telah mengamalkan budaya pembelajaran berterusan dalam usaha melengkapkan pegawai serta kakitangannya dengan pengetahuan dan kepakaran diperlukan untuk melaksanakan tugas.

Beliau berkata, berdasarkan prinsip itu, MOTS telah mengendalikan beberapa siri kursus termasuk Pengurusan Kewangan, Kefahaman Undang-undang khususnya berkaitan Sektor Pengangkutan dan teknikal projek-projek pengangkutan.

Kursus Pemerhatian dan Analisis Forensik terhadap Konkrit Bertetulang merupakan kursus berkaitan teknikal yang ketiga dikendalikan MOTS.

Kursus pertama, 'Kursus Induksi Keselamatan CIDB dianjurkan pada Februari 2021 diikuti 'Kursus Pengurusan Projek Pasca Kontrak bagi Kecemerlangan Penyampaian Projek' pada November 2021.

Dalam kursus konkrit bertetulang ini, peserta diajar asas konkrit bertetulang dan diberikan kemahiran menganalisis dan menilai keadaan konkrit bertetulang serta pengurusan dan pembaikan kecacatannya.

"Kementerian akan terus peningkatan kemahiran pegawai berdasarkan keperluan semasa dan masa hadapan Kementerian dalam Sektor Pengangkutan Darat dan Logistik, Sektor Marin dan Sungai serta Sektor Penerbangan  dan membangunkan Sektor Pengangkutan yang selamat, boleh dipercayai, mesra alam dan cekap dalam Sarawak," katanya.

Hadir sama kedua-dua Timbalan Menteri Pengangkutan iaitu Datuk Dr Jerip Susil dan Dato Henry Harry Jinep serta Setiausaha Tetap MOTS Datu Buckland Bangik.

Advertisement