Anda di sini

IPD Kuching berjaya tumpaskan 'Geng Apik Setan'

Advertisement
 Ahsmon (tengah) menunjukkan antara motosikal yang dirampas daripada suspek.
KEJAYAAN: Ahsmon (tengah) menunjukkan antara motosikal yang dirampas daripada suspek.

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menumpaskan satu sindiket curi motosikal dikenali sebagai 'Geng Apik Setan' melalui Ops Lejang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, sindiket tersebut lumpuh dengan tertangkapnya empat anggotanya dalam empat siri serbuan oleh Pasukan Khas Ops Lejang pada 20 september lepas.

Menurutnya, kesemua ahli sindiket itu merupakan lelaki warga tempatan berusia antara 21 dan 40 tahun.

"'Geng Apik Setan' ini aktif sejak awal tahun 2022 dengan modus operandi sindiket adalah menggunakan van untuk mencuri motosikal yang diletakkan di tempat letak motosikal, bangunan kedai dan kawasan sunyi.

"Sindiket ini menggunakan alat pemutar skru yang diubah suai berbentuk 'T' untuk membuka motosikal yang kemudian akan dihumban ke dalam van dan seterusnya dihantar ke sempadan negera untuk dijual," ujarnya pada sidang media berhubung kejayaan tersebut di sini, hari ini.

Tambahnya, pasukan operasi turut merampas tiga motosikal dan sebuah van daripada sindiket tersebut untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, van yang dirampas adalah milik sebuah syarikat swasta di mana salah seorang daripada suspek bekerja.

"Pemilik van iaitu tempat salah seorang daripada suspek bekerja tidak mengetahui van tersebut digunakan oleh suspek untuk mencuri motosikal dan dia juga memberi kerjasama kepada kita sepanjang siasatan dijalankan," katanya.

Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan geng itu bersekongkol dengan sindiket curi kenderaan dari negara jiran.

"Siasatan masih dijalankan, namun kita percaya motosikal yang dicuri oleh sindiket ini sememangnya sudah ada pembelinya di sempadan," katanya.

Jelas Ahsmon lagi, 'Geng Apik Setan' telah melakukan sekurang-kurangnya 15 kes curi motosikal sejak awal tahun dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM60,000.

Katanya, sebanyak 15 kertas siatasan dibuka di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta didenda jika sabit kesalahan.

"Semakan juga mendapati keempat-empat suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, curi dan sebagainya," katanya.

Ahsmon turut memberitahu, sejak pelaksanaan Ops Lejang Khas, pihaknya berjaya melumpuhkan lima sindiket curi kenderaan.

"Operasi ini adalah berterusan dan orang ramai yang mempunyai maklumat juga boleh menyalurkan kepada kita," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement