Anda di sini

Golongan nelayan harap penambahbaikan bantuan dalam Bajet 2023

Advertisement
 Haizanni (kiri) dan Jamil (kanan) ketika ditemui di sini, semalam.
BERHARAP: Haizanni (kiri) dan Jamil (kanan) ketika ditemui di sini, semalam.



MIRI: Golongan nelayan di sini berharap ada penambahbaikan bantuan untuk mereka pada Bajet 2023 bagi membantu meringankan beban yang ditanggung dalam meneruskan kelangsungan hidup terutama ketika musim tengkujuh serta kos sara hidup yang kian meningkat.
    
Pada masa sama, mereka berharap agar setiap bantuan yang diumumkan kerajaan semasa pembentangan bajet tahunan sama ada di peringkat kerajaan pusat atau negeri benar-benar sampai kepada mereka tanpa kerenah birokrasi atau sekadar cakap kosong.
    
Menurut Abdul Mutalib Jaludin, 55, tidak dinafikan bantuan sara hidup RM300 sebulan yang diterima setakat ini daripada kerajaan pusat sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kos yang ditanggung semasa keluar menangkap ikan di laut.
    
Namun katanya, apa yang menjadi permasalahan adalah bantuan berkenaan tidak diterima secara tetap atau sistematik setiap bulan oleh nelayan terutama mereka yang lesen bot telah tamat tempoh sah.
    
Justeru soalnya, mengapa masalah seperti ini (lesen tamat tempoh) boleh berlaku sedangkan kebiasaannya mereka telah membuat permohonan untuk memperbaharui lesen bot beberapa bulan lebih awal daripada tarikh luput.
    
"Alasan yang diberi hanya kerana lesen tamat tempoh hingga menyebabkan kami tidak dapat menerima bantuan selama hampir dua tahun sedangkan sepanjang tempoh itu kami masih perlu keluar ke laut untuk menangkap ikan.
    
"Jadi, kenapa proses memperbaharui lesen bot kami perlu dilengah-lengahkan pihak terlibat hingga kami tidak dapat menerima bantuan yang sepatutnya," soalnya lagi sambil menambah bantuan seharusnya diberikan secara menyeluruh kepada semua nelayan.
    
Mutalib yang merupakan bekas Ketua Komuniti Perikanan Miri telah menjadi nelayan sejak berusia 12 tahun berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo di Tamu Ikan Pantai Kampung Batu 1, Jalan Lutong-Kuala Baram di sini, semalam.
    
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri yang menjanjikan bantuan musim tengkujuh berjumlah RM300 sebulan untuk tempoh empat bulan sejak tiga tahun lalu namun sehingga kini hanya cakap kosong.
    
Sehubungan itu, beliau berharap perkara-perkara yang sedemikian dapat diberi perhatian dalam Bajet 2023 kelak.
    
Sementara itu, dua lagi nelayan iaitu Haizanni Hasan, 37, dan Jamil Yakob, 39, amat berharap Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober depan turut memperuntuk sejumlah peruntukan bantuan musim tengkujuh bagi golongan nelayan.
    
"Bantuan musim tengkujuh ini amat penting bagi kami nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut kerana sepanjang musim ini bermula Oktober hingga Januari, kami tidak dapat turun ke laut menyebabkan pendapatan kami terjejas hingga 70 peratus," kata Haizanni sambil berharap kerajaan mempertimbang masalah ini.
    
Dalam pada itu menurut Jamil, semasa musim tengkujuh mereka tidak dapat turun ke laut sehingga seminggu kerana cuaca buruk justeru berharap bantuan seperti ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung untuk meneruskan kelangsungan hidup.
    
Sementara bagi Yahya Drahim, 65, beliau amat berharap agar kerajaan menambah jumlah bantuan sara hidup nelayan daripada RM300 sekarang kepada RM500 dalam Bajet 2023.
    
"Jumlah yang diterima sekarang tidak mencukupi memandangkan kos keluar ke laut (pengoperasian) sekarang telah meningkat termasuk bahan api, minyak pelincir dan peralatan menangkap ikan.
    
"Diharap rintihan kami nelayan akan diberi perhatian pada perbentangan bajet kelak," katanya yang telah menjadi nelayan sejak 12 tahun lalu.

Advertisement