Anda di sini

Bapa ditahan polis disyaki tampar, tumbuk anak kembar

Advertisement
 

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mendera anak kembar lelakinya berusia 11 tahun dengan menampar serta menumbuk pada bahagian muka dan badan.

Ketua Polis Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pemandu lori yang berusia 44 tahun itu ditahan 7.30 malam kelmarin di sekitar kawasan rumahnya di Taman Sentosa, Klang oleh sepasukan polis dari cawangan kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati bapa kepada lima orang anak itu ialah seorang yang panas baran dan sering memukul pasangan kembar itu sebelum ini. 

Katanya terdapat kesan kecederaan lama ditemukan pada badan kedua-dua mangsa akibat dipukul oleh suspek. 

“Suspek juga mempunyai tiga rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan.

Cha berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi kesalahan penderaan dan suspek kini direman empat hari bermula semalam. - BERNAMA 

Advertisement