Anda di sini

Ambank bayar RM2.83 bilion kepada kerajaan Malaysia berhubung skandal 1MDB

Advertisement
Najib tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB yang dihadapinya. - BERNAMA 
Najib tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB yang dihadapinya. - BERNAMA 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa AmBank telah membayar penyelesaian berjumlah RM2.83 bilion kepada kerajaan Malaysia berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengurus Cawangan AmBank (M) Berhad, Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi, 43, yang mengesahkan perjanjian penyelesaian membabitkan akaun 1MDB di AmBank itu, bagaimanapun, berkata beliau tidak tahu sama ada penyelesaian itu melibatkan akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi ke-37 pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bekas perdana menteri  itu, Wan Aizuddin Wan Mohammed, pada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram Najib membabitkan RM2.3 bilion milik 1MDB.

Wan Aizuddin: Adakah anda sedar tentang pengaturan penyelesaian antara AmBank dan kerajaan Malaysia berkaitan keseluruhan episod itu?

Uma: Ya, sebenarnya saya ada dengar mengenai perjanjian penyelesaian. Kami dimaklumkan tetapi tidak secara terperinci. Kami tahu wujud penyelesaian dibuat oleh AmBank,

Uma: “Kami hanya dimaklumkan bahawa bank sebenarnya telah membuat penyelesaian dengan kerajaan berhubung untuk tidak dikaitkan dengan mana-mana isu 1MDB.

Kepada soalan Wan Aizuddin sama ada penyelesaian itu hanya terhad kepada 1MDB dan tiada kaitan dengan akaun Najib, beliau menjawab, "Yang ini saya tidak pasti".

Pada Februari lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan AMMB Holdings Bhd (AmBank) bersetuju  membayar sejumlah RM2.83 bilion kepada kerajaan Malaysia sebagai penyelesaian global bagi semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan pembabitan Kumpulan AmBank dalam isu 1MDB.

Pada prosiding tersebut, Uma Devi juga memberitahu mahkamah bahawa pada Julai 2015, Bank Negara Malaysia (BNM) telah melakukan serbuan di cawangannya (AmBank, Jalan Raja Chulan) dan meminta senarai dokumen termasuk akaun bank Najib.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - BERNAMA 

Advertisement