Anda di sini

Tiga kematian akibat denggi di Sabah sejak Januari

Advertisement
ROSE NANI
ROSE NANI
 Statistik demam denggi yang dikeluarkan JKNS menunjukkan tiga kematian akibat penyakit terbabit.
STATISTIK: Statistik demam denggi yang dikeluarkan JKNS menunjukkan tiga kematian akibat penyakit terbabit.

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mencatatkan tiga kematian akibat denggi daripada 4,055 kes di seluruh Sabah sejak Januari hingga 24 September lalu.

Pengarah JKNS Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata melalui perbandingan statistik, jumlah itu dilihat meningkat sebanyak 241 peratus berbanding hanya 1,190 kes yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Bilangan kes bagi tempoh ini juga lebih tinggi iaitu peningkatan 16 peratus berbanding 3,495 kes yang dilapor sebelum pandemik COVID-19 iaitu 3,495 kes pada 2020 dan peningkatan 4.3 peratus berbanding 3,887 kes pada 2019.

“Lima daerah menyumbang kepada bilangan  kes denggi tertinggi di Sabah iaitu Sandakan paling tinggi mencecah 1,052 kes bersamaan 25.9 peratus, diikuti Kota Kinabalu sebanyak 1,024 kes iaitu 25.3 peratus, Tawau 342 kes bersamaan 8.4 peratus diikuti Lahad Datu 299 kes dengan 7.4 peratus dan Putatan 296 kes sebanyak 7.3 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata bagi tempoh sama juga Sabah mencatatkan 387 kejadian wabak denggi berbanding 83 wabak dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Daripada 387 wabak denggi yang dilaporkan itu, sebanyak 69 wabak dikenal pasti masih aktif, manakala 318 wabak sudah tamat.

“Aktiviti kawalan dan pencegahan dijalankan di semua kawasan wabak dan kes jangkitan yang dilaporkan dalam usaha membendung dan memutuskan rantaian jangkitan penyakit itu.

“Antara yang dilaksanakan termasuklah aktiviti kawalan vektor yang membabitkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan dijalankan untuk setiap kejadian kes tunggal (single case) atau wabak,” katanya.

Pada masa sama katanya aktiviti pencegahan juga dipertingkatkan di lokaliti keutamaan dan berisiko di seluruh negeri.

Beliau berkata sehingga 24 September lalu, katanya sebanyak 340,130 premis di seluruh negeri ini diperiksa dengan sebanyak 451 kompaun bernilai RM232,000 dikeluarkan terhadap pemilik premis yang dikesan ada pembiakan nyamuk Aedes mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

“Saya juga mengingatkan orang ramai di negeri ini agar bersama-sama mengambil tindakan membendung penyakit demam denggi daripada terus merebak dan mengancam kesihatan penduduk.

“Empat langkah perlu dilaksanakan adalah dengan membersihkan kawasan persekitaran dan mencari serta memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu.

“Penduduk juga disaran menggunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah selain mengelakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan bahan repelan dan memakai pakaian berlengan panjang serta seluar panjang berwarna cerah terutama apabila berada di luar rumah,” katanya.

Tambahnya orang ramai juga diingatkan supaya mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit sendi, sakit kepala, ruam dan sebagainya, khususnya bagi penduduk yang tinggal di kawasan berisiko wabak denggi.

  • oleh
  • Advertisement