Anda di sini

Segerakan penubuhan unit myMudah di kementerian, agensi kerajaan – Mustapa

Advertisement

KUALA LUMPUR: Penubuhan Unit MyMudah di kementerian dan agensi perlu disegerakan bagi memperkukuh ekosistem kawal selia negara dan mengurangkan kerenah birokrasi, kata  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Datuk Seri Mustapa Mohamed
Datuk Seri Mustapa Mohamed

Beliau berkata, sehingga September 2022, sebanyak 28 Unit MyMudah telah ditubuhkan iaitu di sembilan daripada 27 kementerian dan 19 daripada 269 agensi, berdasarkan laporan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) pada 26 September, 2022.

“Bilangan ini dijangka bertambah dalam masa terdekat memandangkan sebilangan kementerian dan agensi lain juga telah memulakan projek penyelesaian masalah dan dalam proses mendaftar Unit MyMudah secara rasmi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustapa berkata, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 18 Julai, 2022 memutuskan supaya Unit MyMudah segera ditubuhkan di semua kementerian yang belum melaksanakannya bagi memastikan isu-isu beban peraturan perniagaan dapat diselesaikan dengan segera.

Katanya Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan MPC selaku sekretariat PEMUDAH sedang giat memudahcara penubuhan Unit MyMudah di kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan perniagaan.

Antara langkah yang sedang dan akan diambil bagi melancarkan penubuhan Unit MyMudah termasuklah MPC menyelaras isu yang diterima melalui kumpulan kerja teknikal di bawah PEMUDAH untuk didaftarkan dan diselesaikan di dalam platfom MyMudah selain EPU dan MPC bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi meneliti penyediaan garis panduan penubuhan dan pelaksanaan Unit MyMudah di kementerian dan agensi kerajaan.

“PEMUDAH akan memastikan pada akhir tahun 2022 kesemua kementerian dan agensi berkaitan akan menubuhkan Unit MyMudah,” katanya.

Menurut beliau, mesyuarat PEMUDAH pada 26 September, 2022 telah memutuskan supaya fi bagi ejen yang dilantik oleh Jabatan Insolvensi Malaysia ditetapkan pada kadar RM500 untuk pindah milik hartanah sahaja bagi strata/geran yang telah dikeluarkan tertakluk semua dokumen yang dikemukakan oleh pembeli lengkap dan teratur.

Selain itu, mesyuarat turut memutuskan supaya kerajaan berusaha untuk melindungi hak pembeli rumah (kondominium dan pangsapuri) dengan memastikan pelaksanaan peraturan berkaitan penyerahan pemilikan kosong rumah perlu dilaksanakan secara serentak dengan hak milik strata.

“Kerajaan melalui PEMUDAH akan terus memainkan peranan yang agresif dalam memudahcara dan mencari penyelesaian bagi menangani kerenah birokrasi serta cabaran-cabaran yang dihadapi oleh komuniti perniagaan Keluarga Malaysia untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dan meletakkan ekonomi Malaysia atas asas yang lebih kukuh,” katanya. - Bernama

Advertisement