Anda di sini

RM150,000 sumbangan kerajaan untuk tiga IPT

Advertisement
 Hajiji (duduk tengah) merakamkan kenangan bergambar dengan perwakilan pelajar dari UMS, UiTM, dan PERMASA UM yang menyertai pertemuan itu.
KENANGAN: Hajiji (duduk tengah) merakamkan kenangan bergambar dengan perwakilan pelajar dari UMS, UiTM, dan PERMASA UM yang menyertai pertemuan itu.

KOTA KINABALU: Tiga perwakilan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) mendapat kejutan menggembirakan selepas Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengumumkan sumbangan berjumlah RM50,000 bagi setiap institusi untuk membantu dalam menjalankan aktiviti pada masa depan.

Hajiji membuat pengumuman itu semasa mengadakan pertemuan dengan pemimpin pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kota Kinabalu dan  Persatuan Mahasiswa Sabah (PERMASA) Universiti Malaya (UM) di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, Hajiji melahirkan rasa gembira dapat berinteraksi dan bertukar pandangan dengan wakil pelajar IPT dari Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinannya komited untuk mendengar idea dan pendapat golongan belia seperti wakil pelajar di IPT.

Pada masa sama, pihaknya turut menjawab beberapa isu yang dibangkitkan oleh setiap presiden majlis pelajar seperti masalah bekalan air, cadangan program Rumah Siswa SMJ bagi membantu menangani masalah penginapan, isu keselamatan serta tambang penerbangan yang tinggi dihadapi pelajar.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan meneliti semua isu untuk manfaat pelajar.

"Golongan belia khususnya di IPT adalah modal insan yang berharga untuk negeri ini maju selain membantu merealisasikan rancangan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Saya berharap kepimpinan pelajar universiti di Sabah akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan kejayaan Hala Tuju SMJ," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan negeri sedang berusaha sedaya upaya untuk membantu pelajar mendapat pendidikan yang terbaik melalui pelbagai inisiatif dan program.

Menurutnya, ia termasuklah seperti bantuan tunai 'one-off' untuk pendaftaran IPT agar pelajar yang layak mengikuti pengajian ijazah mendapat RM2,000 dan RM1,500 untuk mereka yang mengambil diploma.

Pada majlis itu, UMS diketuai oleh wakil pelajar Eliezer Nevall Anthony, manakala UiTM diwakili oleh Shahirul Azri Aman Shah dan PERMASA diwakili oleh Mohd Amirul Adanan.

Mesyuarat itu diselaraskan oleh Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (KRAR) Jabatan Ketua Menteri.

Terdahulu, Hajiji turut mengadakan pertemuan dengan sayap pelajar atau 'Friends of Gabungan Rakyat Sabah' (GRS) yang diketuai oleh Bayu Saputra Rizal.
 

  • oleh
  • Advertisement