Anda di sini

Pelancongan 'Nature Healing' sesuai di Taman Banjaran Crocker 

Advertisement
 Jafry (kanan) mendengar sesi taklimat yang disampaikan oleh staf Taman-Taman Sabah.
TAKLIMAT: Jafry (kanan) mendengar sesi taklimat yang disampaikan oleh staf Taman-Taman Sabah.

KOTA KINABALU: Taman Banjaran Crocker berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan yang berkonsepkan 'Nature Healing'. 

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, taman berkenaan terkenal dengan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna yang mampu memberi impak positif kepada individu.

Menurutnya, konsep 'Nature healing' secara amnya bukanlah berfungsi menyembuhkan manusia tetapi, manfaat yang berkaitan dengannya lebih kepada usaha mengurangkan tekanan.

Selain itu katanya, ia juga mempunyai kebolehan ruang untuk melegakan, menenangkan, memberi nafas baharu atau memulihkan kesihatan mental dan emosi individu.

"Konsep pelancongan seperti ini akan menawarkan kepelbagaian khazanah alam semula jadi yang pastinya memberikan satu pengalaman yang sukar dilupakan oleh pengunjung.

"Ini adalah satu produk pelancongan berasaskan alam semula jadi dan pelancong boleh datang ke sini untuk menikmati, melihat sendiri dan merasainya," katanya dalam satu sesi taklimat bersama staf Taman-Taman Sabah di sini baru baru ini. 

Beliau berkata, kementerian akan terus memberi perhatian kepada kawasan-kawasan serta tempat-tempat yang mempunyai nilai dan daya tarikan pelancongan, untuk diangkat sebagai produk pelancongan baharu yang boleh diketengahkan.

Jafry berkata, antara langkah yang diambil ialah dengan memastikan keperluan ke atas pembangunan infrastruktur diberi keutamaan.

Pada masa sama jelasnya, kementerian juga akan meneruskan usaha dalam mempromosikan tempat-tempat menarik dalam negeri ini yang mungkin belum diterokai orang ramai.
 

  • oleh
  • Advertisement