Anda di sini

Malaysia pelawa UAE sertai projek pembangunan Bandar Malaysia di KL - PM

Advertisement
Ismail Sabri semasa sidang media bersama wartawan Malaysia membuat liputan lawatan empat hari beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Sri Amran Mohamed Zin (kanan). - Gambar BERNAMA
Ismail Sabri semasa sidang media bersama wartawan Malaysia membuat liputan lawatan empat hari beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Sri Amran Mohamed Zin (kanan). - Gambar BERNAMA

ABU DHABI: Malaysia telah mempelawa Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk turut sama menyertai projek pembangunan Bandar Malaysia di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelawaan itu dibuat dalam pertemuan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Kediaman Presiden di sini pada Isnin.

"Dalam pertemuan itu, saya maklumkan kepada beliau mengenai pembangunan Bandar Malaysia yang dibuat secara beberapa fasa dan pakej.

“Saya juga telah pelawa UAE untuk sama-sama terlibat dalam pakej-pakej yang ditawarkan," kata beliau pada sidang media bersama wakil media Malaysia di hotel penginapannya di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang tiba di ibu negara UAE pada pagi Isnin bagi melakukan lawatan kerja empat hari, berkata barisan Kabinet juga telah bersetuju untuk ‘revisit’ atau melihat semula pembangunan Bandar Malaysia dengan prinsip bahawa projek itu tidak dikuasai oleh satu atau dua syarikat sahaja.          

Malah, beliau berkata, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri juga kini berbincang mengenai cadangan pembangunan dan pakej-pakej yang akan dimuktamadkan kelak.

"Bandar Malaysia pun ada syarikat yang mengendalikannya. Pada dasarnya cadangan pembangunan tidak jauh berbeza dengan yang sebelum ini. Gambaran mengenai bagaimana projek ini sudah ada dan pembentangan sudah dibuat...detail (butirannya) sahaja belum," kata beliau.

Bandar Malaysia merupakan pembangunan seluas 196 hektar oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) yang dimiliki sepenuhnya oleh TRX City Sdn Bhd dan disasarkan sebagai pembangunan dengan perancangan pelan induk dan berkelas dunia di Kuala Lumpur.

TRX City adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (Diperbadankan).

Pada 14 Julai, 2021, TRX City telah mengumumkan bahawa Perjanjian Penjualan Saham Yang Dinyatakan Semula dan Dipinda (RASSA) bagi pembelian 60 peratus saham dalam  Bandar Malaysia Sdn Bhd oleh IWH CREC Sdn Bhd (ICSB) telah luput.

RASSA bagi penjualan 60 peratus saham dalam BMSB kepada IWH CREC Sdn Bhd (ICSB), syarikat usaha sama antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd, telah dimeterai pada 17 Dis, 2019. 

Pihak-pihak terbabit tidak dapat mencapai persetujuan membabitkan terma berkaitan lanjutan Tempoh Syarat Terdahulu yang menyebabkan perjanjian itu terbatal dan tidak sah, kata kenyataan TRX City sebelum ini.

Bagaimanapun, TRX City menyatakan bahawa ia kekal komited untuk merealisasikan visi Bandar Malaysia tersebut. - BERNAMA 

Advertisement