Anda di sini

Lima anggota penyelamat maut dalam taufan di Filipina

Advertisement
 Pegawai kampung membunyikan siren amaran untuk memaklumkan penduduk berhampiran sebatang sungai di Kota Quezon, pinggir Manila kelmarin ketika Taufan Super Noru membadai Filipina. - Gambar AFP
GENTING: Pegawai kampung membunyikan siren amaran untuk memaklumkan penduduk berhampiran sebatang sungai di Kota Quezon, pinggir Manila kelmarin ketika Taufan Super Noru membadai Filipina. - Gambar AFP

SAN ILDEFONSO: Lima anggota penyelamat terkorban selepas dihantar ke kawasan kejiranan yang dilanda banjir ketika Taufan Super Noru yang sangat kuat membadai Filipina, menurut pihak berkuasa semalam tanpa mengeluarkan maklumat mengenai punca kematian mereka.

Ribut paling kuat melanda Filipina pada tahun ini membadai sekitar pulau utama Luzon, menumbangkan pokok dan menenggelami beberapa komuniti di kawasan tanah rendah, namun setakat ini tiada laporan mengenai kerosakan teruk.

Lima mangsa terbabit berada di perbandaran San Miguel di wilayah Bulacan, berhampiran ibu negara Manila.

“Mereka telah dikerahkan kerajaan wilayah ke sebuah kawasan banjir," kata Leftenan Kolonel Romualdo Andres, ketua polis di San Miguel.

Pegawai bencana di San Miguel Renan Herrera mengesahkan mengenai kematian tersebut dan menyatakan mereka mungkin lemas dalam air bah.

Filipina sering dibadai ribut, dengan para saintis memberikan amaran bahawa ia menjadi semakin kuat ketika dunia semakin panas akibat perubahan iklim.

Taufan Noru membadai ke dalam negara kepulauan itu kelmarin dengan kekuatan sangat kuat yang tidak dijangkakan dengan angin kencang, menurut peramal kaji cuaca negara sebelum itu.

Ia membadai kira-kira 100 kilometer di timur laut bandar utama manila yang mempunyai penduduk padat, sebelum menjadi lemah kepada ribut tropika ketika merentasi kawasan pergunungan, ladang kelapa dan sawah padi.

Hampir 75,000 orang telah dipindahkan dari rumah mereka selepas ribut melanda, ketika agensi meteorologi memberikan amaran bahawa hujan lebat akan menyebabkan banjir teruk di kawasan terjejas, mengakibatkan tanah runtuh dan memusnahkan tanaman.

Namun pada pagi semalam tiada petanda kemusnahan meluas yang dikhuatiri ramai.

“Kami telah bersedia bagi semua ini,” Presiden Ferdinand Marcos Jr memberitahu taklimat dengan beberapa agensi bencana.

“Anda mungkin berfikir bahawa kami terlalu bersedia tetapi tiada perkara seumpamanya apabila melibatkan bencana.” – AFP

Advertisement