Anda di sini

Lelaki mengaku tidak bersalah rompak berkumpulan kedai mini

Advertisement
 Tertuduh (kanan) bersama pegawai penyiasat kes semasa berada di lobi Mahkamah Kuching. 
TIADA IKAT JAMIN: Tertuduh (kanan) bersama pegawai penyiasat kes semasa berada di lobi Mahkamah Kuching. 

KUCHING: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas sebuah kedai mini di Matang di sini dengan bersenjatakan sebilah samurai dan sebatang kayu. 

Osman Omar, 41, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan dan mengambil wang tunai RM168 milik kedai serta dompet juruwang kedai mengandungi kad pengenalan dan wang RM50. 

Mereka yang bersenjatakan sebilah samurai dan kayu itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 17 September lalu, sekitar jam 5.30 pagi di sebuah kedai mini di Matang Jaya, Jalan Matang di sini. 

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh susulan pertuduhan membabitkan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.

Tambah Aiman, ia juga bagi mengelakkan tertuduh daripada melakukan kesalahan sama terhadap mangsa atau orang lain, selain bagi mengelakkan tertuduh daripada melarikan diri. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan pengurusan kes pada 19 Oktober depan dan tidak memberikan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh. 

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement