Anda di sini

Dua lelaki curi komputer riba masing-masing didenda RM2,000 

Advertisement
 

KUCHING:Seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia masing-masing dikenakan denda RM2,000 atau penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana mencuri sebuah komputer riba milik seorang wanita pada Ogos tahun ini.

Majistret Syarifah Fatima Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh, Criston Nyalang Honney, 28 (rakyat tempatan) dan Deli Septian Amanda, 20 (warga Indonesia) selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Syarifah juga mengarahkan Deli dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas dia membayar denda atau menjalani hukuman penjara dijatuhkan ke atasnya.

Kedua-dua suspek ditahan kerana mencuri komputer riba pada 17 Ogos 2022 sekitar jam 4.30 petang di sebuah bilik sebuah bangunan di Taman Sri Makmur di Jalan Matang, di sini.

Menurut fakta kes, ketika pengadu (wanita) sampai di rumahnya yang terletak di Samariang Aman di Petra Jaya, dia mendapati rumahnya dalam keadaan bersepah.

Apabila dia memeriksa keadaan rumahnya, dia mendapati pintu bahagian belakang rumahnya yang dipasang jeriji telah diumpil dan dibuka secara paksa.

Pemeriksaan dilakukannya juga mendapati beberapa barang telah dicuri iaitu dua utas gelas emas, seutas rantai emas dan satu geran tanah yang disimpan di dalam peti besi, 80 jam tangan, seunit komputer riba, lima hamper mengandungi beg-beg mewah dan seunit telefon bimbit.

Pengadu (wanita) mengalami kerugian kira-kira RM10,000. Dia juga membuat laporan polis.

Siasatan polis membawa kepada penahanan kedua-dua suspek pada 17 Ogos 2022 dan mereka menyerahkan komputer riba yang dicuri kepada polis.

Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala Criston dan Deli tidak diwakili peguam.

Advertisement