Anda di sini

Dua buruh Indonesia masuk secara haram dihukum penjara empat bulan, satu sebatan

Advertisement
 

MIRI: Dua buruh ladang warga Indonesia masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan sekali sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana kesalahan masuk ke negara ini secara haram.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas mereka dikuatkuasakan mulai tarikh jatuh hukuman hari ini. 

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran setelah selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Andy Zulkarnain Rasyid, 28, dan Rimba, 24, kedua-duanya dari Sulawesi Selatan, Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali.

Menurut keterangan kes, kedua-dua tertuduh telah ditahan sekitar jam 7.45 pagi, 18 September lalu di sebuah kantin ladang di Jalan Miri-Bintulu untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua tertuduh yang merupakan warga negara Indonesia gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah yang membenarkan mereka memasuki dan tinggal di negara ini.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Di hadapan mahkamah, kedua-dua tertuduh merayu agar dikenakan hukuman ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertama mereka.

Pertuduhan dibacakan secara berasingkan kepada kedua-dua tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asfa Jannah Mohamad Ariff Irwani di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.

Advertisement