Anda di sini

Bot karam di sungai Bangladesh, 32 maut

Advertisement

Tragedi menjelang Durga Puja menyaksikan beberapa penganut Hindu masih hilang

 Penduduk membanjiri tebing Sungai Karatoya ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di bandar Boda, kelmarin. - Gambar AFP
TRAGEDI: Penduduk membanjiri tebing Sungai Karatoya ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di bandar Boda, kelmarin. - Gambar AFP

DHAKA: Sekurang-kurangnya 32 orang telah terkorban dan beberapa orang lagi hilang kelmarin selepas sebuah bot karam di sebatang sungai di Bangladesh, menurut polis.

“Kami telah menerima 25 mayat dan hari ini menemui tujuh lagi mayat.

"Anggota bomba dan penyelam sedang mencari beberapa mayat lagi,” pegawai polis tempatan Shafiqul Islam memberitahu AFP. 

Bot tersebut dipercayai membawa lebih 50 penganut Hindu, kata polis.

Mereka dalam perjalanan ke sebuah kuil berusia ratusan tahun di utara Bangladesh apabila bot itu tiba-tiba terbalik dan karam di tengah sungai Karotoa berhampiran pekan Boda.

Seorang lagi pegawai polis menyatakan sekurang-kurangnya 25 orang masih hilang.

Media tempatan menyatakan sekurang-kurangnya 10 orang telah diselamatkan dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Ribuan penganut Hindu di negara majoriti Islam itu melawat Kuil Bodeshwari setiap tahun, menandakan permulaan Durga Puja, festival Hindu terbesar di Bangladesh dan juga di timur India.

Tragedi bot berpunca daripada penyelenggaraan yang kurang baik dan terlalu padat sudah terlalu biasa di Bangladesh, sebuah negara miskin yang berselirat dengan beberapa batang sungai.

Sebuah feri karam di Dhaka pada Jun 2021 selepas bertembung dengan sebuah kapal lain, mengorbankan sekurang-kurangnya 32 orang.

Sekurang-kurangnya 78 orang terkorban pada Februari 2015 apabila sebuah kapal yang terlalu padat dengan penumpang bertembung dengan sebuah kapal kargo di sebatang sungai di barat ibu negara. – AFP

Advertisement