Anda di sini

Album Mega Piombolutan temui peminat di Sabah

Advertisement
 Ahli PPAKS bergambar kenangan selepas menerima sijil penghargaan.
PENGHARGAAN: Ahli PPAKS bergambar kenangan selepas menerima sijil penghargaan.

KOTA KINABALU: Peminat lagu tempatan Sabah kini boleh mendapatkan album Mega Piombolutan (Volume 4, 5 & 6) yang baharu dilancarkan, Sabtu lalu.

Tiga album itu menampilkan seramai 21 penyanyi tempatan dari Persatuan Persahabatan Artis KDMR Sabah (PPAKS) atau dikenali Koisaan Piombolutan Artis KDMR Sabah (KPAKS).

Penerbit Eksekutif album, Clarice Vitini Lajibin berkata, proses rakaman album berkenaan dijalankan di Nuluhon Studio milik Pengarah Fotografi dan Komposer, Valentie Vitus.

Katanya, rakaman album Mega Piombolutan sebelum ini dijalankan di Turol Sound Studio (TSS) yang dikendalikan Francis Goluis.

“Sehingga kini, PPAKS disertai hampir 100 ahli dari etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) khususnya daerah Kota Kinabalu, Penampang, Inanam, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Kudat, Ranau dan Tambunan.

“Syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan persatuan ini sehingga dikenali masyarakat Sabah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Album tersebut, di sini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua EXCO Wiramuda Parti Solodariti Tanah Airku (STAR), Jackerson Ng Hwa Qing.

Clarice yang juga pengerusi penganjur berkata, warga KDMR yang berminat menyertai persatuan, boleh menghubungi talian 017-830 6307 atau 011-1484 0771 (Ray Joe).

Dalam majlis itu, ahli persatuan yang menyumbangkan lagu untuk album terbabit turut menerima sijil penghargaan dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda.

Menurutnya, persatuan yang didaftarkan dibawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 9 Disember 2021 itu kini disertai pelbagai peringkat usia di seluruh Sabah.

“Selain bakat nyanyian yang ditampilkan, penguasaan bahasa ibunda boleh diperkasakan melalui lagu dalam bahasa tersebut sekali gus memastikan ia tidak mudah pupus mengikut arus kemodenan.

“Peminat seni muzik dan nyanyian yang berminat menyertai persatuan ini boleh menggunakan platform seperti menghasilkan album serta persembahan selain menjalankan aktiviti kebudayaan,” katanya.

Clarice berkata, dengan adanya lagu ini dinyanyikan secara meluas, ia boleh menjadi contoh generasi muda dan mereka yang mahu belajar atau memperkasakan penguasaan bahasa ibunda.

“Sehubungan itu, saya berharap masyarakat KDMR juga boleh menggunakan platform persatuan ini untuk mengetengahkan bakat mereka seterusnya menjadi kerjaya pada masa akan datang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement