Anda di sini

Tiga pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah siap hujung tahun ini - Arthur

Advertisement
 

PAPAR: Tiga daripada 35 pakej fasa satu projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata tiga pakej berkenaan terdiri daripada Pakej 27 yang melibatkan jalan sepanjang 8.1 kilometer (km) daripada Kampung Lot M ke Sandakan Batu 32 dan Pakej 21 iaitu melibatkan Jajaran Lahad Datu Bypass sepanjang 7km.

"Satu lagi pakej yang akan siap tidak lama lagi adalah Pakej 5 melibatkan jalan sejauh 11.39km dari Papar ke Penampang. Jalan ini sudah siap 99.1 peratus dan mula dibuka kepada orang ramai.

"Hanya ada kerja-kerja kecil yang belum selesai, seperti pemasangan tanda jalan," katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan projek pakej 5 LPB Sabah itu di sini hari ini.

Projek LPB Sabah bagi fasa satu melibatkan 706km dari Sindumin ke Kota Kinabalu seterusnya Kudat, serta Tawau hingga Batu 32 Sandakan sehingga Ranau.

Sementara itu merujuk kepada kelewatan pelaksanaan beberapa projek LPB Sabah, Arthur berkata berkata terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masalah tersebut dan faktor utama adalah penularan COVID-19.

"Kita semua tahu bahawa negara berhadapan dengan penularan (pandemik) sehingga menyebabkan banyak perkara tergendala pelaksanaannya termasuk LPB Sabah.

"Namun ia tidak menjadi masalah kerana apa yang penting pelaksanaan LPB Sabah mengikut skop kerja yang ditetapkan demi keselamatan dan keselesaan orang ramai," katanya. - BERNAMA 

Advertisement