Anda di sini

Tentera Israel bunuh pemandu Palestin

Advertisement
 Tentera Israel di tempat kejadian di mana seorang pemandu Palestin ditembak mati berdekatan Nablus, Tebing Barat kelmarin. - Gambar AFP
MALANG: Tentera Israel di tempat kejadian di mana seorang pemandu Palestin ditembak mati berdekatan Nablus, Tebing Barat kelmarin. - Gambar AFP


       
BAITULMAQDIS: Seorang pemandu Palestin telah dibunuh oleh anggota tentera Israel di Tebing Barat yang ditakluki kelmarin kerana didakwa cuba melancarkan serangan dengan cara rempuhan, namun pihak Palestin menyatakan kejadian itu hanyalah kemalangan jalan raya.

Pihak tentera menyatakan anggota tentera dan polis melepaskan tembakan terhadap sebuah kenderaan yang didakwa cuba merempuh mereka ketika satu rondaan di luar Nablus, utara Tebing Barat.

Ia menyatakan pasukan tentera Israel “telah meneutralkan” penyerang.

Kementerian luar negara Palestin mengenal pasti pemandu itu sebagai Muhammad Ali Hussein Awad, 36, dari pekan Beit Ijza di Tebing Barat, berhampiran Baitulmaqdis.

“Polis Israel sengaja menembak Awad dengan tujuan untuk membunuhnya selepas kenderaannya bertembung dengan sebuah kenderaan polis dalam satu kemalangan jalan raya,” menurut pihak kementerian.

Ia menuduh pasukan tentera Israel telah membunuh seorang rakyat Palestin yang tidak bersenjata dan tidak menunjukkan sebarang bahaya.

Israel telah menawan Tebing Barat sejak Perang Enam Hari pada 1967.
Terdapat kejadian rempuhan kereta yang berterusan dan serangan lain oleh pihak Palestin ke atas kenderaan tentera Israel dan pos pemeriksaan di wilayah tersebut sejak beberapa tahun ini.

Rejim Israel berdepan kritikan mengenai penggunaan kerap senjata berbahaya dalam respons terhadap ancaman yang dihadapi.

Tel Aviv berada dalam keadaan sangat berjaga-jaga sebelum musim cuti Yahudi yang bermula pada petang semalam dengan sambutan Rosh Hashana, tahun baharu Yahudi.

Bahagian utara Tebing Barat terutama Jenin dan Nablus telah melihat ketegangan hampir setiap hari sejak Mac.

Israel telah melancarkan beratus-ratus serangan di kawasan dalam pemburuan individu yang dituduhnya sebagai terlibat dalam serangan maut menyasarkan tentera dan peneroka haram.

Serbuan telah mencetuskan perbalahan yang telah mengorbankan ramai rakyat Palestin termasuk para pejuang. – AFP

Advertisement