Anda di sini

Sabah optimis terima lebih sejuta pelancong tahun ini

Advertisement
 Hajiji (empat kanan) memotong riben sebagai simbolik perasmian pembukaan Hotel Holiday Inn Express bersama tetamu jemputan lain.
RASMI: Hajiji (empat kanan) memotong riben sebagai simbolik perasmian pembukaan Hotel Holiday Inn Express bersama tetamu jemputan lain.

KOTA KINABALU: Sabah optimis untuk menerima kunjungan lebih sejuta pelancong tahun ini berdasarkan rekod peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kedatangan kira-kira 857,675 pelancong ke negeri ini setakat Julai lepas menunjukkan peningkatan yang signifikan membabitkan sebanyak 632 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, jumlah berkenaan melibatkan  anggaran sebanyak RM1.4 bilion dalam penerimaan jumlah pelancong.

Menurutnya setakat ini, peningkatan berkenaan didorong oleh sektor pelancongan domestik yang merekodkan seramai 785,123 pengunjung dengan peningkatan sebanyak 582 peratus bagi tempoh yang sama.

"Dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa, jumlah ketibaan pelancong antarabangsa merekodkan perkembangan yang ketara membabitkan seramai 77,552 kehadiran pelancong iaitu peningkatan 3,680 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

"Ini juga menjadi petunjuk yang baik secara perlahan-lahan namun pasti dalam melihat ketibaan pelancong semakin meningkat dan saya turut gembira para pemain industri pelancongan berganding bahu dengan kerajaan untuk meningkatkan momentum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Hotel Holiday Inn Express today di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji turut berbesar hati dengan perkembangan perhubungan udara bagi perjalanan domestik dan antarabangsa berada dalam aliran menaik.

Pada masa ini katanya, terdapat sebanyak 367 penerbangan domestik dengan kapasiti 60,162 tempat duduk setiap minggu ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu, Terengganu, Labuan, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu, dan Mulu.

Menurutnya, bagi sektor penerbangan antarabangsa, Sabah kini dihubungkan dengan lima destinasi antarabangsa termasuk Singapura, Bandar Seri Begawan Brunei, Incheon Korea Selatan, Manila Filipina, dan Bangkok Thailand dengan jumlah 39 penerbangan seminggu dan kapasiti tempat duduk sebanyak 7,016.

"Selaras dengan usaha pemulihan pelancongan, pemberian insentif kepada syarikat penerbangan antarabangsa dilaksanakan sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan pelancongan selepas pandemik COVID-19.

"Insentif itu bertujuan menyokong dan menggalakkan syarikat penerbangan memulihkan perhubungan udara, memulakan laluan antarabangsa baharu, atau mengadakan penerbangan sewa khas ke Sabah. Ini penting memandangkan 96 peratus ketibaan pelancong ke Sabah adalah melalui udara," katanya.

Hajiji berkata, di peringkat domestik, usaha tertumpu kepada kerjasama pintar dengan rakan industri seperti syarikat penerbangan, persatuan pelancongan, dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Beliau berkata, inisiatif kerjasama itu termasuk kempen serta lawatan suai kenal untuk media dan pengaruh media sosial selain peningkatan dalam penyertaan untuk pameran pelancongan seperti Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) serta Karnival Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITM).

Katanya, semasa kemuncak pandemik COVID-19, kerajaan negeri merangka pelan pembangunan dan melancarkan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), menggariskan visi, strategi dan keutamaannya untuk lima tahun akan datang mulai 2021.

"Ia adalah rangka tindakan penting untuk membawa Sabah ke dekad yang akan datang dan untuk memberikan kejelasan mengenai bidang tumpuan utama Sabah, terutamanya untuk perniagaan dan pelabur yang menghasilkan pelaburan berimpak tinggi bernilai berbilion ringgit.

"Berita baik, Sabah juga memperoleh pelaburan asing bernilai RM9.9 bilion dari Januari hingga September tahun ini dan semuanya berjaya dicapai semasa negeri mengalami wabak berkenaan," jelasnya.

Menurutnya, perkara yang paling penting adalah pelaburan itu juga menghasilkan kesan berganda untuk meningkatkan ekonomi.

Selain itu jelasnya, dengan pembukaan hotel baharu seperti Holiday Inn Express, kerajaan mahu melihat impaknya diukur bukan sahaja oleh aliran pengunjung dan sumber mereka tetapi juga oleh peluang dalam mengupah penduduk tempatan untuk bekerja di hotel berkenaan.

Katanya, memandangkan lebih ramai pelancong dijangka datang ke Sabah, kerajaan negeri yakin mampu menyediakan bilik yang mencukupi dengan sekurang-kurangnya 11 hotel baharu sedang dirancang atau dibina dan akan siap dalam beberapa tahun akan datang dengan tambahan sebanyak 3,500 bilik.

Beliau berkata, selain Hotel Holiday Inn Express, hotel lain yang turut dijangka siap tahun ini termasuk Hyatt Centric dan Alila Resort.

Pada majlis itu, Hajiji menyaksikan penyerahan sumbangan RM50,000 daripada Kumpulan Syarikat Chee Swee Cheng kepada Rumah Anak Yatim Home Tuaran.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Arrifin; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan; Penolong Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai, Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Chee Swee Cheng Chee Eng Hoon; dan Pengarah Operasi InterContinental Hotels (IHG) dan Resorts bagi Asia Tenggara dan Korea Sophie Mougel.
 

  • oleh
  • Advertisement