Anda di sini

Rusia mula kerahan separa tentera

Advertisement

Lebih 700 ditahan dalam protes membantah panggilan untuk perang di Ukraine
 

 Seorang pegawai polis dengan stiker 'Z' pada helmetnya, lambang taktikal tentera Rusia di Ukraine, menyekat jalan di Saint Petersburg, kelmarin yang menyaksikan protes membantah kerahan separa yang diumumkan Putin. - Gambar AFP
BERMASALAH: Seorang pegawai polis dengan stiker 'Z' pada helmetnya, lambang taktikal tentera Rusia di Ukraine, menyekat jalan di Saint Petersburg, kelmarin yang menyaksikan protes membantah kerahan separa yang diumumkan Putin. - Gambar AFP

MOSCOW: Pihak berkuasa Rusia kelmarin menahan lebih 700 orang dalam protes membantah kerahan separa yang diarahkan Presiden Vladimir Putin pada minggu ini, menurut kepada sebuah kumpulan pemerhati bebas.

Kumpulan pemerhati polis OVD-Info mengira sekurang-kurangnya 726 orang ditahan di 32 bandar di sekitar Rusia, hampir separuh di Moscow, dalam beberapa rali selepas kerahan separa bagi meningkatkan operasi ketenteraan Rusia di Ukraine. 

Segerombolan anggota polis berkawal di kawasan pusat Chistye Prudy di Moscow, menurut seorang wartawan AFP.

Kebanyakan penunjuk perasaan berjalan atau hanya berdiri berseorangan atau dalam beberapa kumpulan kecil bagi mengelak dikesan dan ditahan polis.

AFP melihat anggota polis menahan seramai kira-kira 20 orang.

“Kami bukannya buah meriam!” jerit seorang wanita, sementara beberapa anggota polis membawanya pergi dari situ.

Di bandar kedua terbesar Saint Petersburg, AFP melihat sebuah van polis dengan 30 tahanan.

Penunjuk perasaan di Saint Petersburg turut cuba untuk melepaskan diri namun pihak polis menangkap sesiapa yang kelihatan mencurigakan.

Ilya Frolov, 22, memgang satu papan tanda bertulis 'kedamaian'.
“Saya ingin menyuarakan bantahan saya terhadap apa yang berlaku, saya tidak mahu pergi berperang untuk Putin," katanya.

“Saya menentang peperangan dan membantah kerahan.

"Saya bimbang bagi golongan muda” kata Natalya Dubova, 70. 
Selepas Putin mengumumkan kerahan separa pada Rabu lepas, pihak berkuasa Rusia telah menahan lebih 1,300 orang.

AFP bercakap dengan sebahagian daripada mereka yang menyatakan polis memberikan surat arahan ketika dalam tahanan, mengarahkan mereka untuk mendaftar dalam pasukan tentera.

Kremlin mempertahan prosedur itu pada Khamis atas alasan ia bukan bertentangan dengan undang-undang.

Pihak berkuasa Rusia telah membanteras kritikan mengenai operasi tentera di Ukraine, menahan beribu-ribu penunjuk perasaan sejak bermulanya konflik pada Februari. 

Dalam bantahan kelmarin di Saint Petersburg, anggota polis menyatakan melalui megafon bahawa penunjuk perasaan telah melanggar peraturan bagi mengekang penularan COVID-19.

Namun pada Jumaat, beratus-ratus orang berkumpul tanpa dihalang di Moscow dan di Saint Petersburg dalam pertunjukan sokongan terhadap serangan dan penggabungan bagi kawasan Ukraine yang dikawal Rusia. – AFP

Advertisement